Pembaharuan tarif mampu pacu ledakan infrastruktur sektor air, kata CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembaharuan tarif mampu pacu ledakan infrastruktur sektor air, kata CGS International

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 SeptSektor air di negara ini dijangka memasuki fasa pertumbuhan lebih pesat susulan pelaksanaan pembaharuan tarif yang dikemas kini, menurut CGS International (CGSI).


Firma penyelidikan tersebut berkata, kemajuan itu turut disokong pelancaran projek infrastruktur berskala besar dan peningkatan permintaan daripada industri baharu seperti pusat data (DC). 


Ia menjangkakan kitaran pelaburan jangka panjang dalam sektor ini akan bermula dengan kadar penggantian paip air yang lebih tinggi, didorong oleh kenaikan tarif air di negeri-negeri utama.


Kenaikan caj berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025 di kebanyakan negeri dan 1 September di Lembah Klang menunjukkan komitmen kerajaan mengatasi tekanan pembiayaan yang membelenggu operator selama ini.


"Kali ini berbeza. Selepas bertahun-tahun tertangguh, kini wujud momentum dan kewangan yang kukuh menaik taraf infrastruktur air negara," kata CGSI dalam notanya dengan memetik sumber industri.


Firma itu turut melaporkan kadar permintaan paip air meningkat pada suku kedua tahun kewangan 2025, mencerminkan persediaan industri terhadap pelaksanaan projek yang lebih aktif.


Pada Ogos 2025, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meluluskan RM7.7 bilion perbelanjaan modal untuk pelbagai projek air, isyarat jelas bag mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).


Ini disusuli pula dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM2.5 bilion di bawah Program NRW Kebangsaan bagi tempoh 2025 hingga 2030, mengesahkan kitaran pelaburan berbilang tahun kini sudah bermula.


"Antara projek infrastruktur air utama yang dijangka memberi impak tinggi dalam tempoh dua tahun akan datang termasuk Projek Pemindahan Air dari Perak ke Pulau Pinang," kata firma berkenaan lagi.


CGSI menambah, selain itu tumpuan juga meliputi skim bekalan air Sungai Rasau Fasa 2 dan Sungai Langat 2 yang nilai kontrak paip daripada projek-projek ini dianggarkan mencecah RM1.05 bilion.


Ia turut mengenal pasti Engtex Group Berhad sebagai antara syarikat yang paling berpotensi luas meraih pelbagai manfaat langsung daripada lonjakan pelaburan infrastruktur air di negara ini.


Projek di Lembah Klang kata firma penyelidikan itu, memerlukan banyak paip air berdiameter besar antara 1.5 hingga 2.0 meter, dengan syarikat tersebut merupakan antara pengeluar utama.


"Berdasarkan kepada rekod prestasi Engtex sebelum ini, dengan keupayaan memenuhi spesifikasi teknikal tinggi, syarikat itu dijangka menikmati margin keuntungan yang lebih baik, tambahnya.


Gabungan reformasi tarif, komitmen kerajaan, dan permintaan industri baharu kini meletakkan sektor air di landasan pertumbuhan kukuh berterusan dalam tempoh lima tahun akan datang. - DagangNews.com