Pemasaran agresif pada 4QFY25 mula bantu pulih kembali jualan Eco-Shop, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemasaran agresif pada 4QFY25 mula bantu pulih kembali jualan Eco-Shop, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 SeptEco-Shop Marketing Berhad dijangka kembali ke landasan pertumbuhan kukuh berikutan usaha pemasaran agresif dan pengembangan margin keuntungan kasar (GPM) berterusan.


Menurut RHB Research, syarikat runcit harga mampu milik itu mempunyai banyak potensi yang cukup munasabah bagi merekodkan pendapatan dengan lebih positif dan menjana perolehan secara mampan. 


Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah kepada RM1.51 sesaham, mewakili potensi kenaikan 13% serta penilaian unjuran bagi tahun kewangan 2026.


“Eco-Shop merupakan satu kes pelaburan jarang dengan keseimbangan antara pertumbuhan yang mapan, ketahanan margin, dan prospek perluasan fizikal lebih jelas,” katanya dalam satu nota kajian.


Kumpulan itu melancarkan kempen promosi besar-besaran selepas mencatatkan kemerosotan pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) sebanyak 8% pada suku keempat FY25, susulan pelarasan harga April 2025.


Usaha berkenaan termasuk kempen 'Sama Bantu' dengan menurunkan semula harga produk makanan dan minuman (F&B) yang terpilih kepada RM2.40 serta pelaksanaan promosi beli dan beli tambah (PWP).


Strategi tersebut kata RHB Research, berjaya menarik semula ramai pelanggan daripada segmen peka harga, di samping penyelesaian isu kekurangan stok yang pernah menjejaskan prestasi sebelum ini.


"Berdasarkan perkembangan yang positif itu, kami menilai Eco-Shop ketika ini mengekalkan unjuran SSSG yang lebih baik iaitu peningkatan sebanyak 5% bagi tahun kewangan semasa," kata firma itu.


Setakat ini, syarikat berkenaan tambahnya, berjaya mendapatkan sebanyak lebih 70 lokasi baharu, dengan rancangan menaik taraf sekitar 20 cawangan yang sudah lama menjelang hujung tahun ini. 


RHB Research berpandangan, usaha penjenamaan semula itu mampu meningkatkan produktiviti jualan setiap kedai dan menyumbang kepada pemulihan SSSG, sekiranya dilaksanakan secara lebih luas.


Di samping itu kata firma penyelidikan berkenaan, inovasi produk secara bermusim turut ditekankan oleh pengurusan Eco-Shop sebagai pemangkin untuk meningkatkan nilai purata pembelian pelanggan.


"Kami turut menilai impak tambahan kos berkaitan cukai perkhidmatan ke atas sewaan dan caruman wajib pekerja asing dalam KWSP yang bermula Oktober 2025 sebagai dapat dikendalikan," katanya.


Unjuran positif tersebut tambah RHB Research, memandangkan syarikat berkenaan sudah berjaya mencatatkan pengembangan GPM sebanyak 4.7 mata peratus tahun ke tahun (YoY) pada suku lepas.


Selain itu kata firma berkenaan, sebanyak 159 daripada keseluruhan 371 cawangan Eco-Shop kini menyertai rangkaian Program Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dikelolakan pihak kerajaan.


Bagaimanapun, impaknya terhadap jualan dilaporkan masih lagi rendah, dipercayai disebabkan oleh faktor kecenderungan pengguna lebih gemar menebus kredit di pasar raya besar dan pasar mini.


“Walaupun kesan jualan masih sederhana, pendedahan melalui SARA boleh perkukuh kesedaran jenama Eco-Shop dalam kalangan B40, sejajar dengan pelan perluasan rangkaiannya,” tambah RHB Research.


Eco-Shop namun perlu berwaspada terhadap beberapa risiko luaran serta masalah kelewatan dalam pelaksanaan rancangan pengembangan cawangan di seluruh negara yang boleh menjejaskan jualan.


Setakat ini kata firma itu prospek jangka sederhana dilihat positif, disokong oleh trend pengguna berpendapatan rendah dan penawaran produk 'nilai-untuk-wang' yang kukuh. - DagangNews.com