KUALA LUMPUR 17 Okt – Walaupun pasaran hartanah London terkenal dengan kos tinggi dan peraturan yang ketat, pemaju hartanah Malaysia terus mengukuhkan kedudukan mereka di ibu kota Britain itu.
Menurut TA Securities, perkembangan positif tersebut menjadikan bandar raya berkenaan sebagai medan ujian utama bagi syarikat mengatur strategi pelaburan jangka panjang yang lebih mampan.
London kata firma itu, kekal destinasi ikonik yang mencerminkan aspirasi Malaysia, bukan sekadar lokasi hartanah, tetapi lambang prestij, kesinambungan hubungan budaya dan pelaburan global.
"Penglibatan aktif pemaju utama tempatan menunjukkan peralihan model perniagaan bermula daripada pembangunan konvensional kepada pemilikan aset institusi berpendapatan yang berulang," katanya.
Ia merujuk kehadiran SP Setia, Sime Darby Property, Gamuda Berhad, dan IJM Corporation dalam laporan terkininya yang bertajuk 'Across the Miles: Malaysian Developers in London’s Evolving Landscape'.
TA Securities menambah, Gamuda turut muncul antara pemain besar dengan strategi dua cabangnya yang melibatkan pembangunan semula pejabat bernilai £1.2 bilion (RM6.8 bilion) di 75 London Wall.
Pemaju tersebut jelas firma penyelidikan itu, juga terbabit dalam pelaburan aset bangunan dibina sebagai penginapan pelajar (PBSA) di tiga bandar lain iaitu Woolwich, Glasgow dan Stratford.
"Projek-projek ini dijangka menyumbang aliran tunai konsisten mulai tahun kewangan 2027, disokong oleh pendekatan kitaran semula modal berdisiplin dan penekanan kepada pensijilan ESG," katanya.
Sementara itu, usaha bersama SP Setia, Sime Darby Property dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam menghidupkan semula Battersea Power Station (BPS) kini menunjukkan hasil positif.
Kata TA Securities, walaupun prestasi kewangan jangka pendek masih dipengaruhi oleh kos operasi, penghunian penuh ruang pejabat serta peningkatan jumlah pelawat runcit menunjukkan pemulihan.
IJM Corporation pula membina ekosistem pembangunan semula berasaskan modal ringan melalui usaha sama (JV) dengan Innova dan Network Rail, digabungkan bersama anak syarikat pembinaan JRL Group.
"Kami menilai model secara penyepaduan penuh syarikat ini juga memberi kelebihan dari segi kawalan perancangan, ketelusan margin dan potensi penskalaan yang tinggi dalam pasaran Britain," katanya.
Justeru, ia memberi tumpuan kepada IJM (saranan 'beli', harga sasaran (TP) RM3.46) atas kemampuan membina platform pembangunan jangka panjang berdaya tahan merentasi pelbagai kitaran hartanah.
Laporan TA Securities itu juga menilai sentimen pasaran negara Eropah tersebut yang semakin pulih berikutan langkah penurunan kadar faedah oleh Bank of England daripada 5.25% kepada cuma 4.00%.
Ia turut didorong kekurangan bekalan pejabat Gred A serta permintaan tinggi terhadap PBSA dan aset bina untuk disewa (BTR) selain bangunan yang bersijil alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Hartanah berkenaan turut mencatat kadar penyewaan premium, menjadikan aset-aset pemaju Malaysia berada dalam ‘titik' tumpuan besar aktiviti pelaburan daripada pelbagai institusi global sendiri.
Bagaimanapun TA Securities menjangkakan sumbangan pendapatan secara ketara hanya akan muncul selepas FY28 disebabkan kaedah pengiktirafan hasil di Britain yang berdasarkan model siap bina.
Kemajuan projek dan aliran pendapatan semakin jelas namun tambah firma itu, akan menjadi pemangkin kepada penarafan semula saham pemaju-pemaju berkaitan dalam jangka pendek dan sederhana.
Secara keseluruhannya, London kekal kompleks dan mahal, tetapi ia medan bukti sebenar kerana di bandar raya ini tahap ketelusan ESG, keperluan transit, dan kerjasama strategik sentiasa diuji.
"Pemaju Malaysia kini bukan lagi pemain pinggiran, mereka semakin menyerlah sebagai pengendali institusi dalam salah satu pasaran hartanah paling kompetitif di dunia,” ujar TA Securities.
Laporan firma itu mencerminkan peralihan besar landskap pelaburan hartanah Malaysia, dari pembangunan tempatan kepada berstruktur global dengan fokus jangka panjang dan mampan. - DagangNews.com








