Pemaju hartanah perlu tangani tekanan tinggi ke atas margin akibat kos bahan binaan mahal — RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemaju hartanah perlu tangani tekanan tinggi ke atas margin akibat kos bahan binaan mahal — RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 Mei — Pemaju hartanah perlu agresif menyusun strategi operasi bagi mengurangkan kesan tekanan margin tinggi susulan kenaikan kos bahan binaan dan ketidaktentuan geopolitik global.


Bagaimanapun, RHB Research berpandangan industri hartanah masih berada dalam situasi kukuh dengan prospek pertumbuhan yang kekal positif, dan mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor itu.


Menurut firma penyelidikan itu, kebanyakan saham hartanah sudah pulih selepas penyusutan pada Mac dan April lalu apabila pelabur melihat kesan konflik di rantau Timur Tengah sebagai bersifat sementara.


“Tidak seperti sektor-sektor lain, pemaju hartanah ada fleksibiliti menyusun semula reka bentuk produk, spesifikasi binaan, dan strategi harga bagi mengurangkan tekanan terhadap margin untung,” katanya.


Berdasarkan kepada perkembangan semasa itu, RHB Sesearch menamakan Sime Darby Property Berhad dan Eco World Development Group Berhad sebagai saham pilihan utama untuk diberi perhatian oleh pelabur.


Antara pemangkinnya termasuk pertumbuhan permintaan dan transaksi di Iskandar Malaysia dijangka rancak menjelang siap projek Rapid Transit System (RTS) menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.


Selain itu tambahnya, tekanan inflasi di Singapura turut menjadi faktor penarik kepada ramai rakyat negara tersebut untuk terus berbelanja dan menetap di Iskandar Malaysia dalam tempoh sederhana.

 

sektor hartanah_DagangNews


“Tiada tanda-tanda yang permintaan tanah semakin perlahan apabila transaksi melibatkan pemain pusat data (DC) masih direkodkan pada harga premium,” kata RHB Research merujuk isu di Johor ketika ini.


Jelasnya, hartanah mewah di lokasi premium seperti Mont Kiara, Damansara Heights, KLCC dan beberapa kawasan strategik di Iskandar Malaysia juga dijangka terus mencatat jualan yang memberangsangkan.


Ujar firma penyelidikan berkenaan, harga jualan purata (ASP) bagi pelbagai projek baharu di kawasan premium masih kekal stabil meskipun pasaran global pula berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi.


Tambah RHB Research, antara pemaju yang ada pendedahan kukuh termasuk Eastern & Oriental Berhad, Sunway Berhad, Mah Sing Group Berhad, UEM Sunrise Berhad, LBS Bina Group Berhad serta Eco World. 

 
Dalam pada itu katanya, usaha penambahbaikan nilai aset menerusi penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) dijangka terus menjadi pemangkin tambahan kepada sektor berkenaan selepas ini.


"Tiga pemaju utama termasuk Sime Darby Property dan SP Setia Berhad dijangka menyenaraikan aset masing-masing bernilai RM13 bilion ke dalam REIT dalam tempoh dua tahun akan datang," jelasnya.


Firma itu turut menjangkakan persekitaran kadar faedah yang kekal kondusif akan terus menyokong permintaan hartanah, terutama dalam kalangan pelabur dan pembeli komersial. - DagangNews.com