KUALA LUMPUR 21 April — Langkah pelupusan beberapa tanah ladang dijangka memberi pulangan hasil kepada SD Guthrie Berhad (SDG) sebanyak RM277 juta pada tahun kewangan berakhir 2025 (FY25), kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, berdasarkan pengiraan awalnya, SDG kemungkinan besar berpotensi menerima sejumlah RM396 juta dalam keuntungan hasil pelupusan tanah berkenaan tetapi proses itu berlangsung secara berperingkat.
Setelah selesai segala pelupusan tanah yang dijangkakan pada separuh kedua 2025 (2H25), keuntungan besar serta-merta SDG iaitu RM277 juta akan diiktiraf berdasarkan bahagian ekuiti 70 peratus dijual kepada entiti usaha sama (JV).
Baki kira-kira RM119 juta lagi pula katanya, hanya akan diiktiraf SDG, yang sebelum ini dikenali sebagai Sime Darby Plantation Berhad, secara berperingkat dari semasa ke semasa apabila entiti JV itu menjual tanah tersebut.
"Mengikut anggaran awal kami, pendapatan JV berkenaan mungkin akan memberikan sumbangan pendapatan yang bermakna hanya dari FY28 dan sehubungan itu, kami mengekalkan saranan "beli"," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Firma itu turut menetapkan harga sasaran (TP) baharu iaitu RM5.52 sesaham iaitu meningkat 23 peratus susulan laporan SDG akan menjual tanah seluas 484 hektar dalam Malaysian Vision Valley 2.0 di Negeri Sembilan kepada entiti JV.
Kawasan berkenaan diiliki SDG hanya sebanyak 30 peratus dan ia berhasrat melupuskan tanah perladangan itu pada harga RM573 juta yang dianggap Maybank IB sebagai masih lagi berpatutan.
Penjualan itu kata firma tersebut, mengesahkan komitmen SDG untuk menyampaikan sekurang-kurangnya RM500 juta keuntungan tahunan daripada perniagaan bukan berkaitan minyak sawit.
"Kami tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan SDG kerana potensi tanah berkenaan di Bukit Pelandok amat strategik sebagai koridor ekonomi di Negeri Sembilan," kata Maybank IB. - DagangNews.com








