Pelupusan Link Net di Indonesia seawal 1QFY26 berpotensi pacu hasil Axiata – CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelupusan Link Net di Indonesia seawal 1QFY26 berpotensi pacu hasil Axiata – CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Okt – Pelan pelupusan kepentingan Axiata Group Berhad dalam penyedia jalur lebar Indonesia, Link Net, dijangka memberi rangsangan ketara kepada keuntungan kumpulan berkenaan.


Menurut CIMB Securities, perkembangan penjualan ekuiti syarikat tersebut turut menyebabkan firma penyelidikan berkenaan menaikkan saranan terhadap saham Axiata daripada 'pegang' kepada 'beli'.


Ia menjangka proses bidaan rasmi bakal dimuktamadkan seawal separuh pertama 2026, dengan nilai ekuiti Axiata dalam syarikat itu kini dianggarkan RM1.46 bilion bagi pegangan sebanyak 73.5%.


“Kami menaikkan harga sasaran kira-kira 12% kepada RM2.90 sesaham selepas mengambil kira nilai ekuiti Link Net dan penyingkiran diskaun pegangan ke atas Edotco,” katanya dalam satu nota kajian.


Sebelum ini, CIMB Securities tidak pernah memasukkan nilai Link Net dalam penilaian jumlah sebenar bahagiannya kerana faktor prestasi kerugian syarikat itu serta ketidaktentuan semasa pelupusan.


Dalam perkembangan terkini tambah firma tersebut, Axiata sudah pun menjual sebahagian pegangan sebanyak 4.95% dalam Link Net pada harga 3,060 rupiah (kira-kira 78 sen) sesaham pada Ogos 2025.


Keadaan berkenaan jelasnya, mengurangkan pemilikan kepada 73.52% dan dianggarkan menjana hasil sekitar RM111 juta, yang sekali gus mengurangkan kos faedah bersih kumpulan tersebut.


"Jika keseluruhan penjualan dibuat menjelang akhir tahun kewangan 2025, unjuran keuntungan bersih teras Axiata bagi FY26 dan FY27 boleh naik masing-masing 51% dan 29%," kata CIMB Securities.


Ia difahamkan Solusi Sinergi Digital dan I Squared Capital sebagai antara pembida utama, dengan nilai Link Net dijangka mencecah lebih AS$1 bilion (RM4.2 bilion) dari segi nilai perusahaan.


Firma berkenaan menambah, sebanyak AS$609 juta (RM2.57 bilion) daripadanya sebagai nilai ekuiti selepas mengambil kira hutang bersih kira-kira AS$391 juta (RM1.65 bilion) setakat akhir 2025.


CIMB Securities menambah, sekiranya urus niaga itu berjaya dimuktamadkan pada nilai tersebut, pelupusan berkenaan akan menambah sebanyak lima sen lagi kepada harga sasaran saham Axiata.


"Bagaimanapun, kami memberi amaran risiko utama kekal jika usaha pengewangan aset Axiata, termasuk penjualan Link Net, gagal dimuktamadkan atau tidak mencapai penilaian menguntungkan," katanya.


Secara keseluruhan, pelupusan Link Net bukan sahaja dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan Axiata, tetapi menghapuskan beban kerugian ditanggung anak syarikat itu ke atas penyata kumpulan.


Langkah berkenaan kata CIMB Securities, dijangka mampu memperteguhkan prospek keuntungan untuk tahun-tahun mendatang kepada Axiata. - DagangNews.com