KUALA LUMPUR 11 Sept – Pelupusan 34% ekuiti Sea Master Food oleh Texchem Resources Berhad kepada Yamae Global Co, menandakan langkah penting ia mendedahkan nilai sebenar perniagaan makanannya.
RHB Research berkata, penjualan yang bernilai RM14.9 juta tunai kepada syarikat gergasi Jepun itu dapat diguna bagi membayar dividen khas RM10 juta serta mengurangkan hutang sebanyak RM4.64 juta.
Langkah penjualan pegangan berkenaan tambah firma penyelidikan tersebut, sekali gus selaras dengan usaha kumpulan itu menurunkan nisbah hutangnya daripada kira-kira 0.81 kali kepada 0.79 kali.
"Tindakan itu menunjukkan keupayaan Texchem membuka nilai perniagaan makanan melalui pelupusan aset pada gandaan penilaian yang menarik," kata firma berkenaan dalam nota kajiannya hari ini.
Pada masa sama jelas RHB Research, kumpulan berkenaan dapat memperkukuhkan lagi struktur kewangan serta menawarkan peluang pulangan yang berpotensi lebih lumayan kepada para pemegang sahamnya.
Berdasarkan perkembangan tersebut, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) masih lagi RM1.37 sesaham, mencerminkan unjuran kenaikan sebanyak 102% daripada penilaian harga semasa.
Sea Master Food merupakan cabang utama perolehan dan perdagangan bahan makanan Texchem, termasuk untuk operasi Sushi King dan bagi tahun kewangan 2024, ia meraih keuntungan bersih RM1.1 juta.
"Syarikat berkenaan memiliki aset bersih RM12.7 juta dan menariknya, harga pelupusan itu memberikan penilaian ekuiti sekitar RM43.9 juta, yang bersamaan 3.4 kali ganda nilai bukunya," kata RHB Research.
Artikel berkaitan: Konglomerat Jepun Yamae Group beli 34% pegangan dalam Sea Master Food milik Texchem
Angka berkenaan tambah firma itu, adalah 38 kali ganda perolehan pada FY24, sekali gus menjadikan urus niaga penjualan tersebut bernilai kira-kira 55% daripada modal pasaran Texchem pada masa ini.
Pada masa sama, firma berkenaan turut menekankan pengagihan dividen khas RM10 juta itu memberikan unjuran hasil sekitar 13%, menjadikannya setakat ini salah satu yang paling tinggi di pasaran.
"Selain membuka nilai, kerjasama dengan Yamae Global, cabang antarabangsa kumpulan perdagangan makanan terkemuka Jepun, Yamae Group, dijangka meningkatkan imej Sea Master Food," katanya.
RHB Research memberi contoh lonjakan keupayaan perolehan dan kecekapan rantaian bekalan, sekali gus menyediakan akses pasaran antarabangsa untuk pengembangan masa depan kepada Texchem.
Langkah ini tambah firma berkenaan, sejajar dengan strategi kumpulan tersebut untuk menambah nilai dalam sektor makanan dan memanfaatkan rakan kongsi global bagi mempercepatkan usaha pertumbuhan.
Bagaimanapun ia tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran keuntungan FY25 hingga FY27, kerana penjimatan faedah hasil pengurangan hutang dijangka diimbangi kenaikan pegangan minoriti.
"Andaian dividen namun disemak bagi memasukkan dividen khas itu, manakala risiko utama termasuk prestasi jualan lemah daripada jangkaan serta turun naik harga bahan kimia," katanya. - DagangNews.com








