Pelupusan atau penjualan sebahagian aset tanah YTL boleh menyerlahkan nilai sebenar saham kumpulan – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelupusan atau penjualan sebahagian aset tanah YTL boleh menyerlahkan nilai sebenar saham kumpulan – MBSB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Mei – YTL Corporation Berhad dilihat masih memiliki nilai aset yang besar terdiri dari ban tanah tetapi belum diterjemahkan sepenuhnya dalam harga saham semasa, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berpendapat pelupusan aset atau penjualan sebahagian pegangan boleh membantu menyerlahkan nilai sebenar kumpulan serta merapatkan jurang penilaian dari semasa ke semasa.

 

Oleh itu, MBSB Research mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM3.44 sesaham berdasarkan pendekatan sum-of-the-parts (SOTP), mencerminkan potensi kenaikan sekitar 64.6% berbanding harga semasa RM2.09. 

 

Jumlah pulangan termasuk dividen dianggarkan sekitar 67%, dengan hasil dividen antara 1.9% hingga 2.4%.

 

MBSB Research berkata antara faktor utama ialah pegangan bank tanah  kumpulan yang luas di dalam dan luar negara dengan perbezaan ketara antara harga perolehan asal dan anggaran nilai semasa.

 

“Di Sentul, tanah yang diperoleh sekitar RM200 juta kini dianggarkan mempunyai nilai buku sekitar RM1.25 bilion. Di United Kingdom, kawasan Brabazon (bekas Filton Airfield) yang dibeli pada harga kira-kira £65 juta kini dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar £6.5 bilion. 

 

“Selain itu, YTL juga mempunyai tanah  di Niseko, Jepun yang dibeli sekitar RM223 juta kini dianggarkan bernilai antara RM800 juta hingga RM900 juta.

 

“Di Malaysia, kawasan Johor dan Kulai turut menjadi tumpuan dengan kira-kira 688 hektar tanah milik YTL, termasuk sekitar 202 hektar yang diperuntukkan untuk pembangunan kampus pusat data,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Firma tersebut berkata dari sudut operasi, YTL Power kekal sebagai penyumbang utama pendapatan stabil kumpulan melalui aset utiliti di United Kingdom dan Singapura, termasuk Power Seraya yang menyediakan pendapatan dalam mata wang SGD, sekali gus memberi lindung nilai semula jadi terhadap risiko ringgit.

 

MBSB Research turut menyatakan hubungan YTL Power dengan pembangunan pusat data memberi kelebihan strategik, memandangkan akses kepada bekalan tenaga stabil merupakan faktor kritikal dalam pembangunan infrastruktur digital.

 

“Segmen simen melalui Malayan Cement dijangka mendapat manfaat daripada aktiviti pembinaan yang lebih kukuh, disokong projek infrastruktur, pusat data dan pembangunan kawasan ekonomi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura tanpa jangkaan kenaikan harga jualan purata (ASP) yang agresif.

 

“Sementara itu, segmen pembinaan di bawah Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd (SPYTL) kini mempunyai buku tempahan sekitar RM5 bilion, dengan saluran tender dianggarkan antara RM20 bilion hingga RM25 bilion.,” katanya.

 

MBSB Research mengandaikan kadar kemenangan konservatif sekitar 10%, yang berpotensi menambah kira-kira RM2.5 bilion kepada buku tempahan kumpulan.

 

Pengambilalihan Concrete Engineering Products Berhad (CEPCO) yang masih dalam proses tawaran am mandatori dijangka memperkukuh rantaian nilai industri simen dan bahan binaan, termasuk integrasi dengan segmen kuari, agregat dan pratuang.

 

Secara keseluruhan, MBSB Research berpendapat pasaran masih belum memberi penilaian penuh terhadap aset tidak tersenarai serta potensi pengewangan bank tanah YTL, menyebabkan jurang ketara antara nilai intrinsik dan harga pasaran semasa. - DagangNews.com