KUALA LUMPUR 19 Jun — Pekebun buah-buahan menjangkakan peningkatan mendadak dalam permintaan untuk avokado tempatan apabila peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai 2025.
Penasihat Persatuan Peladang Avocado Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, langkah itu boleh membantu menstabilkan harga buah tersebut kekal rendah selain kualitinya yang juga setanding.
Bekas ADUN Kemabong itu menambah, sekiranya harga meningkat dalam pasaran domestik, lebih ramai petani tempatan berkemungkinan menceburi bidang penanaman avocado bagi memenuhi permintaan.
Tambah beliau lagi, pada ketika ini avocado yang diimport hampir menguasai pasaran tempatan apabila membentuk sebanyak 85 peratus daripada keseluruhan hasil penjualan buah berkenaan.
"Kami masih boleh bersaing kerana harga yang kami jual memang selama ini lebih rendah," kata Jamawi kepada FMT sambil menyatakan terdapat kira-kira 2,023 hektar tandah ladang avocado di seluruh Sabah.
Avocado yang ditanam pekebun tempatan katanya, boleh diperoleh antara RM8 dan RM10 sekilogram jika dibeli terus dari ladang, tetapi berkemungkinan mencecah RM20 sekilogram di pasaran runcit.
Harga stabil, ditambah dengan sokongan berterusan kerajaan juga meningkatkan keyakinan petani dan mendorong mereka untuk mengembangkan ladang yang akhirnya meningkatkan pengeluaran domestik.
Jamawi mencadangkan kerajaan menubuhkan satu lembaga kawal selia hasil berpotensi tinggi seperti avocado dan durian, selain memiliki hala tuju jelas untuk tanaman seperti nanas dan lada hitam.
Pada 15 Jun 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah peluasan SST ke atas banyak barangan mewah import disasarkan terutamanya kepada golongan yang berpendapatan tinggi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata, hasrat kerajaan adalah untuk mengenakan cukai terhadap produk yang kelaziman hanya digunakan oleh individu kaya seperti avocado dan ikan kod.
Sebelum itu pada 9 Jun 2025, Perbendaharaan berkata cukai jualan 5 peratus akan dikenakan ke atas barang makanan tertentu, termasuk ketam raja, salmon, ikan kod, truffle dan buah-buahan import.
Ketua Setiausahanya, Datuk Johan Mahmood Merican mengulangi bahawa hasil tempatan dikecualikan daripada cukai itu bagi memperkukuh permintaan pertanian tempatan dan keselamatan makanan.
Dalam pada itu, seorang lagi pekebun avocado, Joni Muhamat Yahya, yang mengusahakan buah tersebut di Pagoh, Johor, berkata cukai jualan sebenarnya boleh menjadi rahmat kepada petani tempatan.
Beliau yang memiliki ladang seluas 3.2 hektar, turut mencadangkan kerajaan menyediakan insentif khusus untuk para petani avocado tempatan bagi merangsang pertumbuhan industri buah berkenaan.
“Ini merupakan peluang baik untuk saya dan ramai lagi pengusaha avocado yang lain di seluruh negara agar kami dapat mengembangkan ladang buah ini secara besar-besaran," kata beliau kepada FMT.
Joni turut menjangkakan terdapat permintaan yang lebih besar untuk avocado tempatan pada masa depan serta sebenarnya boleh dimanfaatkan pekebun dalam menjana industri makanan dan minuman.
Pihak kerajaan juga tambahnya, harus membantu mereka meningkatkan pengeluaran sebagai memenuhi jangkaan peningkatan permintaan selepas pelaksanaan peluasan SST itu. - DagangNews.com








