Peluasan SST beri kesan kepada pemaju hartanah bukan kontraktor, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peluasan SST beri kesan kepada pemaju hartanah bukan kontraktor, kata Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Jun — Langkah peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada perkhidmatan pembinaan, berkemungkinan mengheret margin pemaju hartanah, berbanding kontraktor, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, golongan pemaju diyakini perlu menyerap segala kos tambahan daripada cukai yang akan dikenakan ke atas pembinaan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 untuk projek komersial dan perindustrian.


Tambahnya, kos berkenaan mungkin dibebankan pula untuk ditanggung oleh pembeli hartanah terbabit bagi pelbagai projek masa depan dalam usaha pemaju tersebut mengelakkan daripada berlaku hakisan kepada margin secara ketara.


“Memandangkan kebanyakan kontrak memang ada menggabungkan klausa semakan perubahan peraturan semasa, pemaju dijangka harus menanggung pelaksanaan SST ini, bukannya kontraktor,” jelas Maybank IB dalam satu nota kajiannya.


Kerajaan bercadang mengutip cukai perkhidmatan enam peratus mulai tarikh itu ke atas perkhidmatan pembinaan untuk bangunan infrastruktur, komersial dan perindustrian, jika nilai bercukai lebih RM1.5 juta setahun.


Bagaimanapun, pengecualian disediakan untuk bangunan kediaman, kemudahan awam berkaitan dengan perumahan dan kontrak tidak boleh disemak yang akan menikmati tempoh penangguhan 12 bulan dari tarikh berkuat kuasa.


Maybank IB menambah, pemaju terlibat dalam pembinaan pusat data, termasuk Eco World Development Group Bhd dan Sime Darby Property Bhd, juga dapat melihat peningkatan perbelanjaan serta potensi pengurangan kadar pulangan dalaman.


“Pada masa sama, menerusi penekanan strategik yang menjana hasil secara berulang daripada hartanah pelaburan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, SST ke atas pendapatan sewa akan ditanggung oleh penyewa," kata firma tersebut.


Ia percaya, pelaksanaan berkenaan termasuk pusat beli-belah yang akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak 8 peratus dan usaha itu boleh mengekang tindakan pemaju untuk melakukan rundingan kenaikan penyewaan.


Sehubungan itu, Maybank IB berpendapat, sebagai cara untuk mengelakkan hakisan margin, pemaju hartanah berkemungkinan besar akan menaikkan harga bagi unit yang masih belum terjual dan untuk projek baharu masa depan.


"Walaubagaimanapun keupayaan mereka untuk membebankan kenaikan kos pembinaan kepada pembeli mungkin dihadkan oleh pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan permintaan pasaran semasa adalah lemah, kata firma tersebut.


Secara keseluruhannya, ia mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor hartanah. - DagangNews.com