Peluang projek bernilai RM750 juta di Johor letak MN Holdings tumbuh kukuh 3 tahun – Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peluang projek bernilai RM750 juta di Johor letak MN Holdings tumbuh kukuh 3 tahun – Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Sept – Penyertaan aktif dalam projek infrastruktur pusat data (DC) bernilai tinggi di Johor meletakkan MN Holdings Berhad dalam kedudukan strategik meraih pertumbuhan berterusan.


Menurut Phillip Capital, perkembangan positif itu menyebabkan firma penyelidikan tersebut masih mengekalkan saranan ‘beli’ dan menaikkan harga sasaran 12 bulan kepada RM2.20 daripada RM1.82.


Kerja pembinaan yang rancak di Kempas Tech Park (KTP) dan Nusajaya Tech Park (NTP) bagi pihak 'Pelanggan A' bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan hasil dalam tempoh tiga tahun akan datang.


“Keterlibatan MN Holdings dalam projek DC berskala besar dan pengembangan stesen jana kuasa kecil menjadikannya penerima manfaat gelombang pelaburan teknologi dan tenaga masa depan,” katanya.


Tambah Phillip Capital, potensi kontrak lanjutan dan perluasan infrastruktur tenaga bernilai ratusan juta ringgit dijangka menyumbang kepada lonjakan ketara dalam pendapatan dan margin.


Tiga blok DC siap dibina di KTP, manakala blok keempat dijangka siap menjelang pertengahan 2026 dengan dua syarikat teknologi gergasi dari Amerika Syarikat (AS) dan China menjadi penyewa utama.


MN Holdings juga kata firma tersebut dalam notanya, sedang berusaha melaksanakan banyak projek pengembangan stesen tenaga elektrik bernilai RM39.6 juta yang menyokong kapasiti sehingga 500MW.


"Kerja awal tiga blok tambahan DC menunjukkan potensi keperluan sebuah stesen kecil baharu 275kV dianggarkan bernilai RM150 juta, dan berpotensi tinggi diserahkan kepada kumpulan ini," katanya.


Phillip Capital menambah, di NTP pula, 'Pelanggan A' difahamkan berhasrat meneruskan rancangan perluasan dan turut menjejaki pembelian tanah yang lain di kawasan tengah Semenanjung Malaysia.


Keseluruhan pelan pengembangan ini boleh menterjemah kepada peluang kontrak bernilai RM750 juta, sekali gus memperkukuhkan kesinambungan buku tempahan MN Holdings sehingga tahun kewangan 2027.


Firma berkenaan justeru, menaikkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 kepada sebanyak 6% hingga 10%, dengan jangkaan pelaksanaan lebih pantas bagi pelbagai projek Tenaga Nasional Berhad (TNB)


"MN Holdings diyakini merekodkan sumbangan margin tinggi daripada banyak projek DC dengan margin kasar 20% hingga 25%, berbanding menerusi projek TNB hanya 15% hingga 18%," kata Phillip Capital.


Ketika ini jelas firma berkenaan, kumpulan tersebut mempunyai buku tempahan yang bernilai RM1.1 bilion, dan tender aktif sebanyak RM777 juta, dengan 44% daripadanya melibatkan projek DC.


Syarikat berkenaan juga tambahnya, baru sahaja melengkapkan penempatan saham persendirian yang berjumlah RM101 juta, sekali gus meningkatkan keupayaan kewangan untuk merebut projek baharu.


Bagaimanapun ia memberi amaran risiko utama termasuk kelewatan pelaksanaan projek atau kegagalan memperoleh kontrak baharu boleh menjejaskan prestasi MN Holdings. - DagangNews.com