TAIPING 22 April - Kecekapan anggota Gerup Gerak Khas (GGK) termasuk melakukan operasi tempur jarang-jarang dipertontonkan kepada umum melainkan pada acara-acara tertentu.
Bagaimana pun, masyarakat di Taiping bertuah apabila dapat menyaksikan penampilan anggota elit Tentera Darat ini sepanjang 4 hari bermula esok di Lapangan Terbang Tekah di sini.
Acara tersebut diadakan bersempena upacara penutup Kursus Asas Komando Siri AK 1/2025 yang berlangsung sehingga Sabtu.
Tekah tidak asing kerana merupakan kawasan latihan payung terjun bagi ATM dan PDRM.

Markas 21 GGK menerusi laman Facebook memaklumkan, acara ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui lebih dekat tentang kepakaran pasukan elit tersebut.
Menurut kenyataan itu, penganjuran acara mendapat kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama.
“Pelbagai acara ketenteraan telah diatur sepanjang program ini bermula 23 April dari pukul 7.30 pagi hingga 6 petang seperti demonstrasi menyelamatkan tawanan perang dah demonstrasi kepakaran Gerak Khas.
“Turut diadakan ialah pameran statik aset pasukan khas dan kelengkapan Tentera Darat, persembahan pancaragam, jualan gerai makanan, minuman dan cendera kenangan.


“Tarikan lain ialah perkampungan ikhtiar hidup tempur dan promosi kerjaya Tentera Darat," ujar kenyataan itu.
Kemuncak acara pada 26 April iaitu upacara penutup Kursus Asas Komando Siri AK 1/2025 dengan kehadiran pegawai-pegawai kanan GGK dan Tentera Darat.
Apa yang menarik, pelbagai aset-aset tempur akan terlibat semasa demonstrasi seperti kenderaan-kenderaan bersenjata termasuk helikopter Pasukan Udara Tentera Darat.

Kebiasaannya upacara penutup Kursus Asas Komando diadakan di Pusat Latihan Peperangan Khas, Kem Sungai Udang di Melaka yang merupakan pusat latihan utama GGK.
Sehubungan itu, peluang untuk orang ramai hadir menyaksikan acara ini di lokasi terbuka merupakan kesempatan yang jarang-jarang diperoleh. - DagangNews.com







