Pelarasan mekanisme tarif elektrik diramal kurangkan bil, beban fiskal meningkat - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelarasan mekanisme tarif elektrik diramal kurangkan bil, beban fiskal meningkat - CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Pelaksanaan mekanisme penetapan tarif elektrik baharu menerusi pelarasan bahan api automatik (AFA) yang berkuat kuasa 1 Julai 2025 menandakan satu langkah besar dalam usaha kerajaan memastikan harga tenaga lebih mencerminkan keadaan pasaran semasa.


Menurut CGS International (CGSI), kaedah baharu ini dijangka memberi impak kos yang berbeza kepada pengguna kediaman dan komersial, namun secara agregat, penjimatan masih dapat dirasai oleh kebanyakan pengguna.


Perubahan paling ketara adalah penggantian sistem pelepasan kos tidak berimbang (ICPT) dengan AFA, yang kini akan menyemak tarif berdasarkan perubahan harga komoditi setiap bulan, berbanding setiap enam bulan sebelum ini.


“AFA bersifat prospektif kerana ia memasukkan unjuran harga input semasa, manakala ICPT pula hanya berdasarkan data lampau yang boleh menjangkau sehingga tempoh 10 bulan,” jelas CGSI dalam nota kajiannya.


Situasi berkenaan tambah firma penyelidikan tersebut, membolehkan AFA menyesuaikan kadar tarif secara lebih kerap dan tepat, walaupun dalam julat perubahan yang lebih kecil.


Di bawah struktur baharu, pengguna kediaman yang menggunakan kurang 800kWh sebulan atau melebihi 1,000kWh dijangka menikmati penjimatan, manakala mereka dalam julat penggunaan 800 hingga 1,000kWh akan mengalami peningkatan bil yang minimum sehingga maksimum 2.4%.


“Hanya sekitar 5% pengguna dijangka mengalami kenaikan bil, justeru impaknya terhadap pengguna keseluruhan adalah terhad,” jelas laporan itu.


CGSI berkata, bagi pengguna komersial dengan voltan rendah, mereka yang menggunakan kurang 1,600kWh sebulan akan menyaksikan sedikit kenaikan kos, manakala pengguna melebihi 1,600kWh akan menikmati penurunan bil sehingga 3%.


Katanya, walaupun terdapat perubahan tarif, kesan terhadap inflasi dijangka minimum, memandangkan bil elektrik purata dijangka menurun, namun beban subsidi kerajaan dijangka meningkat secara ketara.


Kerajaan memperuntukkan RM3.57 bilion bagi subsidi elektrik separuh kedua 2025, menjadikan jumlah subsidi bagi tahun ini menghampiri RM6 bilion, jauh lebih tinggi berbanding RM4.1 bilion pada 2024.


“Subsidi ini melibatkan pengecualian AFA kepada pengguna kediaman yang menggunakan kurang daripada 600kWh sebulan,” jelas CGSI.


Pakar ekonomi berpandangan bahawa langkah ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kos, tetapi dari segi kesedaran pengguna terhadap pergerakan harga tenaga global dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti solar.


Bagaimanapun, mereka turut mengingatkan bahawa AFA juga terdedah kepada risiko harga komoditi yang tidak menentu, seperti yang berlaku terhadap ICPT semasa krisis harga tenaga global pada 2022 hingga 2023.


“Sekiranya harga bahan api adalah kekal tinggi dalam jangka panjang, beban subsidi kerajaan boleh menjadi tidak mampan,” kata firma penyelidikan tersebut lagi.


Malaysia kini berada di landasan untuk menghentikan sepenuhnya operasi loji janakuasa arang batu menjelang 2044, serta berhadapan dengan pengeluaran gas asli domestik yang semakin menurun.


Dalam masa sama kata CGSI, permintaan tenaga meningkat terutamanya dari industri baharu seperti pusat data yang semakin berkembang pesat dan memerlukan banyak bekalan elektrik.


“Struktur tarif baharu ini adalah langkah ke hadapan untuk menyeimbangkan pembangunan ekonomi, kelestarian fiskal, dan peralihan kepada tenaga bersih,” menurut firma berkenaan.


Walaupun terdapat sedikit kesan kepada sesetengah kumpulan pengguna, struktur tarif elektrik baharu menerusi AFA lebih progresif dan realistik, serta bersesuaian dengan landskap tenaga masa depan Malaysia. - DagangNews.com