Pelarasan belanja kementerian hanya libatkan perbelanjaan tidak kritikal, perkhidmatan asas kekal terjamin - MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelarasan belanja kementerian hanya libatkan perbelanjaan tidak kritikal, perkhidmatan asas kekal terjamin - MOF

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 April - Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan pelaksanaan panduan pelarasan perbelanjaan mengurus kerajaan hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, manakala semua perbelanjaan teras akan diteruskan seperti diluluskan dalam Belanjawan 2026.

 

Menurut kementerian itu, perbelanjaan penting meliputi sektor asas seperti perkhidmatan awam, keselamatan, kesihatan dan pendidikan tidak akan terjejas, termasuk peruntukan kepada kementerian utama seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang menerima antara bajet tertinggi tahun ini.

 

MOF menjelaskan, langkah pelarasan yang diperkenalkan merangkumi penangguhan penganjuran acara, menghadkan lawatan serta latihan ke luar negara, penjimatan utiliti, pengoptimuman rizab simpanan agensi dan penangguhan pengisian jawatan bukan kritikal.

 

Langkah tersebut, menurut MOF, adalah sebahagian daripada pendekatan pengurusan kewangan negara secara berhemah bagi mewujudkan ruang fiskal tambahan, khususnya untuk membiayai bantuan serta subsidi bersasar kepada golongan dan sektor yang terkesan akibat Krisis Bekalan Global.

 

“Pelarasan ini dibuat berdasarkan keutamaan semasa bagi memastikan kerajaan mempunyai fleksibiliti kewangan untuk menangani tekanan ekonomi, tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan asas kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam masa sama, MOF memaklumkan akan terus melaksanakan pendekatan proaktif dan sistematik bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi kesan berpanjangan daripada krisis global tersebut.

 

Tambah kementerian itu, kerajaan kekal komited untuk memastikan keseimbangan antara kesinambungan perkhidmatan asas, sokongan kepada ekonomi serta kedudukan fiskal negara yang mampan dalam jangka sederhana dan panjang. - DagangNews.com