Pelan Tindakan Komprehensif pulihkan Aerotrain KLIA tunjuk kemajuan positif, MAHB mula ujian operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelan Tindakan Komprehensif pulihkan Aerotrain KLIA tunjuk kemajuan positif, MAHB mula ujian operasi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Dis – Pelan Tindakan komprehensif (CAP) bagi menangani isu gangguan perkhidmatan sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) mula menunjukkan kemajuan positif.


Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan, beberapa pencapaian utama berjaya diselesaikan dengan baik sejak peringkat yang pertama dilaksanakan pada 15 November 2025.


Langkah berkenaan jelasnya, dilaksanakan dengan penglibatan penuh daripada kontraktor Alstom dari Perancis dan usaha sama IJMC-PESTECH, dengan perunding projek tren serta penilai teknikal bebas.

 

 

 

 

 

 

 

 

"Peringkat 1 dan Peringkat 2 CAP yang merangkumi kerja-kerja pemeriksaan secara menyeluruh, dan pelbagai aktiviti pembaikan serta ujian simulasi disahkan sudah berjaya diselesaikan," katanya.


Ketika ini jelas MAHB, proses pengesahan dan pembetulan tambahan terhadap Aerotrain sedang dijalankan bagi memastikan integriti sistem dan keselamatan operasi berada pada tahap tertinggi.


Seterusnya, ujian operasi Peringkat 3 akan dimulakan seperti dijadualkan dan diteruskan sehingga hujung Disember 2025, dengan melibatkan pelbagai senario operasi dan dianggap sebagai kritikal.

 

Artikel berkaitan: MAHB laksana Pelan Tindakan Komprehensif pulihkan Aerotrain KLIA, cadang tambah bilangan set tren

 

Usaha tersebut kata operator lapangan terbang berkenaan, bagi mengesahkan segala keberkesanan langkah pembetulan sebelum keyakinan operasi sepenuhnya terhadap Aerotrain dapat dipulihkan.


Dalam perkembangan berkaitan jelas MAHB, dua penilai bebas kini menjalankan semakan menyeluruh ke atas reka bentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem tren di Terminal 1 KLIA tersebut.


"Laporan gabungan daripada penilai itu dijangka dapat disiapkan menjelang pertengahan Januari 2026, dengan kemas kini rasmi yang seterusnya pula akan diumumkan pada bulan sama," katanya.


Sementara itu, Aerotrain terus beroperasi seperti biasa pada waktu siang, dan pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan pergerakan penumpang tidak terganggu sepanjang tempoh kerja pengesahan.

 

 

 

 

 

 


Ini kata MAHB, termasuk perkhidmatan bas ulang-alik secara sepenuhnya akan digunakan pada tempoh waktu luar puncak setiap malam selama 10 jam dari pukul 9.00 malam hingga 7.00 pagi setiap hari.


Ia menegaskan komitmennya memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang terpelihara, selain mengekalkan piawaian tertinggi, serta menghargai kerjasama semua pengguna. - DagangNews.com