KUALA LUMPUR 27 Okt - Syarikat yang tersenarai di bawah Nota Amalan 17 (PN17), KNM Group Berhad akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia Securities pada 5 November 2025 susulan penolakan pelan penstrukturan semula oleh pihak bursa.
KNM berkata, pihaknya memutuskan untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan nyahsenarai dan mengemukakan notis rasmi kepada Bursa Malaysia Securities berhubung perkara tersebut.
“Berikutan penarikan balik rayuan itu, syarikat akur kepada keputusan Bursa Malaysia. Oleh itu, sekuriti KNM akan dinyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Securities berkuat kuasa 5 November ini,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
KNM berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan teliti oleh lembaga pengarah, dengan mengambil kira kepentingan semua pihak berkepentingan, termasuk pemegang saham, pemiutang dan pekerja.
Kumpulan itu berkata, ia terlibat dalam beberapa perjanjian jual beli (SPA) bagi melepaskan aset bukan teras atau yang berprestasi rendah, sebagai usaha mengurangkan beban kewangan dan memperkemas operasi.
Katanya, kejayaan pelaksanaan SPA itu penting bagi usaha penstabilan kewangan syarikat, sambil menjelaskan, tempoh masa pengawalseliaan untuk meneruskan rayuan boleh menjejaskan jadual penyempurnaan SPA tersebut.
Syarikat itu berkata, dengan rekod prestasi selama 35 tahun dan kedudukan kukuh dalam industri pembuatan peralatan proses, lembaga pengarah yakin modal kerja berjumlah RM100 juta yang dikekalkan membolehkannya membangunkan semula serta memulihkan operasi syarikat.
“Lembaga pengarah akan menumpukan perhatian kepada pemulihan operasi dan kewangan kumpulan. Pada masa yang sesuai, apabila keadaan kewangan syarikat kembali stabil, lembaga akan mempertimbangkan penyenaraian semula KNM, tertakluk kepada prestasi kewangan dan kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.
Saham KNM kali terakhir diniagakan pada harga setengah sen hari ini. - BERNAMA








