Pelaksanaan SST dijangka beri kesan minimum kepada KPJ Healthcare - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaksanaan SST dijangka beri kesan minimum kepada KPJ Healthcare - MIDF Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Jun — KPJ Healthcare diunjur hanya mengalami kesan minimum daripada pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang disemak semula kerajaan bermula 1 Julai 2025, kata MIDF Research. 


Firma penyelidikan tersebut menambah, pengenaan sistem percukaian itu yang diperluaskan dijangka tidak memberi kesan ketara kepada hasil kumpulan tersebut kerana ia dibantu suntikan modal jangka pendek.


Sebaliknya kata firma itu, ia kemungkinan masih lagi akan menghadapi sedikit cabaran persekitaran perniagaan kerana cukai tersebut dijangka meningkatkan kos penyewaan dan pelancongan perubatannya.


"Bagaimanapun, memandangkan kesan SST adalah cukup minimum terhadap keputusan ramalan kumpulan, kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham KPJ Healthcare," kata MIDF Research dalam nota kajiannya.


Kumpulan itu tambahnya, telah menyuntik dua hartanah iaitu bangunan 15 tingkat di KPJ Ampang Puteri dan 10 tingkat di KPJ Pulau Pinang, ke dalam Al-Aqar Healthcare REIT dengan berjumlah RM241 juta.


Di bawah perjanjian itu, ia memajak KPJ Ampang Puteri selama 11 tahun dan KPJ Pulau Pinang selama 15 tahun, dengan kenaikan sewa tahunan 2 peratus serta pilihan lanjutan pajakan selama 15 tahun lagi.


MIDF Research menegaskan, sewa kedua-dua aset itu dicaj kira-kira RM15 juta pada 2025 sebagai garis dasar tetapi dengan pelaksanaan SST baharu, ia berpendapat caj bersih adalah kira-kira RM16 juta.


"Kontrak sebelum tarikh pelaksanaan SST namun dikecualikan cukai itu selama setahun. Maka sewa 2026 diunjur hampir RM17 juta dan menjelang 2040, kami jangka mencecah kira-kira RM22 juta," tambahnya.


KPJ Healthcare katanya, sebelum ini telah menyuntik 19 daripada 30 hospitalnya ke dalam Al-Aqar REIT, berjumlah lebih RM107 juta dengan pajakan 2024, tetapi ia tidak termasuk dua aset yang baru disuntik.


Pembayaran balik hutang RM100 juta akan mengurangkan kos tambahan daripada jualan dan pajakan balik, manakala tambahan modal kerja sebanyak RM139 juta akan menyokong penambahbaikan operasi kumpulan itu.


Sehubungan itu, MIDF percaya, sokongan dana permodalan jangka pendek tersebut akan mampu memperkemas prestasi kewangan KPJ Healthcare di tengah-tengah halangan ekonomi dan perubahan dasar," katanya.


Mengenai pelancongan perubatan, ia menganggarkan SST menambah RM24 juta hingga RM32 juta setahun dalam perbelanjaan cukai, kerana sekitar 9% hingga 12% hasil kumpulan itu diperoleh melalui segmen ini.


"Kami menyatakan bahawa ini dijangka boleh meningkatkan kos rawatan, seterusnya mungkin mengurangkan daya saing KPJ Healthcare dengan pemain domestik dan serantau lain," jelas firma penyelidikan itu.


MIDF Research menyemak semula unjuran hasil kumpulan itu ke bawah sebanyak 1 peratus untuk 2025 hingga 2027 serta melaraskan harga sasarannya kepada RM3 daripada RM3.02 sesaham. - DagangNews.com