Pelaksanaan SST 8% tidak jejas Axis REIT, pendapatan diunjur berkembang hingga 15% - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaksanaan SST 8% tidak jejas Axis REIT, pendapatan diunjur berkembang hingga 15% - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 8% ke atas sewaan ruang komersial diramal tidak menjejaskan hasil Axis Real Estate Investment Trust pada tahun ini, kata Kenanga Research.

 

Katanya, kutipan sewa kumpulan itu dilihat tidak terjejas dan mereka kekal optimis terhadap pertumbuhan pendapatan serta kadar sewa positif sepanjang tahun 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi 9MFY25, keuntungan bersih teras Axis REIT meningkat sebanyak 28% tahun ke tahun (YoY) hasil sumbangan daripada pengambilalihan aset baharu pada FY24 serta peningkatan kadar sewa.

 

"Setakat suku ketiga FY25 (3QFY25), Axis REIT melaporkan tiada tentangan besar daripada penyewa berhubung pelaksanaan SST 8% ke atas kadar sewa, meskipun beberapa penyewa memilih untuk membayar sewa lebih awal," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Axis-REIT pada 3QFY25 naik 38% kepada RM52.1 juta, dipacu penyewaan baharu

 

Terdahulu, pendapatan dan keuntungan bersih kumpulan masing-masing meningkat 17% dan 28% YoY, sejajar dengan jangkaan pasaran, menyumbang 72% dan 73% daripada unjuran setahun penuh firma penyelidikan dan konsensus.

 

Axis REIT mengisytiharkan pengagihan bersih dianggarkan sebanyak 2.4 sen seunit, menjadikan jumlah terkumpul tahun ini kepada 7.1 sen, selaras dengan sasaran dividen bersih penuh tahun sebanyak 9.6 sen," katanya dalam satu nota kajian.

 

Kenanga Research mengekalkan keyakinan terhadap pencapaian semakan kadar sewa positif sepanjang FY25.

 

Selain itu, katanya, isu tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) tidak dijangka menjejaskan penyewa Axis REIT kerana pendedahan eksport ke AS adalah terhad.

 

Kumpulan itu turut melaporkan, permintaan penyewaan kekal tinggi dengan minat kukuh daripada syarikat tempatan dan asing, mencerminkan kepercayaan terhadap pasaran hartanah industri tempatan.

 

"Dengan nisbah hutang sebanyak 33%, kumpulan itu masih mempunyai ruang pembiayaan tambahan sekitar RM900 juta bagi menyokong sebarang pengambilalihan baharu.

 

"Melihat kepada prestasi semasa dan asas kewangan yang kukuh, Axis REIT kekal berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan pengagihan pendapatan bersih seunit (NDPU) dua digit antara 10% hingga 15% bagi FY25, didorong pengambilalihan aset yang berimpak positif serta kestabilan operasi sedia ada," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan "market perform" dengan harga sasaran (TP) RM1.96 sesaham," katanya.- DagangNews.com