KUALA LUMPUR 10 Dis – Malaysia terus meraih manfaat hasil lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India pada 2024 dengan dua projek utama sudah berjaya menerima kelulusan.
Menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, ketika ini sejumlah pelaburan bernilai RM4.5 bilion berada dalam pelbagai peringkat proses rundingan dan pelaksanaan.
Jelas beliau, sebanyak dua daripada tiga projek utama yang dirunding selepas lawatan berkenaan telah diluluskan oleh kementerian berkenaan, dengan melibatkan sektor farmaseutikal dan kimia.
"Setakat Jun 2025, Malaysia sudah merealisasikan RM4.88 bilion pelaburan perkilangan dari India sejak 1980 yang membabitkan 176 projek dan mewujudkan lebih 16,000 peluang pekerjaan," katanya.
Chin Tong menyatakan demikian dalam sesi soal jawab Dewan Negara hari ini terhadap pertanyaan Senator Datuk Seri Vell Paari Tun Samy Vellu mengenai hasil lawatan Perdana Menteri ke India.
Anwar berkunjung ke negara terbesar rantau Asia Selatan itu dari 19 hingga 21 Ogos 2024 dan merupakan lawatan rasmi pertama beliau sejak memegang jawatan ketua kerajaan pada November 2022.
Sejumlah tujuh memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Malaysia dan India, merangkumi kerjasama pelbagai bidang dengan disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Seterusnya, Chin Tong menambah, pelaburan negara berkenaan merentasi banyak sektor termasuk peranti perubatan, farmaseutikal, kimia, pengilangan logam, oleokimia serta jentera dan peralatan.
Pada 2024, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 10 projek bernilai RM298.45 juta, manakala dari Januari hingga September 2025, lima projek bernilai RM23.85 juta diluluskan.
"Susulan lawatan itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menganjurkan Misi Pelaburan dan Perdagangan ke India 2025 bagi meneruskan lagi kerjasama strategik," jelas beliau.
Chin Tong berkata, program itu merangkumi sesi meja bulat bersama-sama ramai pemimpin industri India serta pertemuan dengan Federation of Indian Chambers of Commerce and Industry (FICCI).
Malaysia ketika ini tambahnya, dalam proses memeterai memorandum kerjasama (MoC) dalam bidang semikonduktor dengan India bagi membangunkan banyak rantaian nilai global yang lebih kukuh.
Selain itu, Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (ASEM) sudah menjalinkan kerjasama strategik dengan IIT Madras Global, membuka ruang kepada pembangunan bakat dan teknologi bertaraf dunia.
"Perkembangan positif ini membuktikan hubungan ekonomi Malaysia–India semakin kukuh, sekali gus meneguhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi," katanya. - DagangNews.com








