Pelaburan hartanah di UK perkukuh pendapatan berulang IJM, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan hartanah di UK perkukuh pendapatan berulang IJM, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mac — Pelaburan hartanah IJM Corp Berhad yang memperoleh 25 Finsbury Circus di London, United Kingdom (UK) dijangka memberikan hasil sewa menarik, kata CGS International (CGSI) Research.
 

Firma penyelidikan itu berkata, harga yang dibayar sebanyak £72.5 juta (RM407.9 juta) ke atas kawasan tersebut yang asalnya dikenali dengan nama 1-5 London Wall Buildings, juga dianggap sebagai adil.
 

“Ini merupakan sebahagian daripada strategi IJM bagi mengembangkan pendapatan berulang dan mengukuhkan portfolio syarikat itu di UK," katanya dalam satu nota kajian.
 

Sebelum itu, IJM sudah memiliki Royal Mint Gardens dan The Wheat Quarter serta perkongsian untuk Innova-Network Rail, dan cadangan pemerolehan JRL Group Holdings.
 

CGSI Research menekankan bahawa harga pembelian termasuk pengubahsuaian adalah £890 (RM5,120) setiap kaki persegi, dan setanding dengan Gamuda yang memperoleh Winchester House berhampirannya pada £809 (RM4,653) sekaki persegi.
 

"Pelabur cenderung mengabaikan kunci kira-kira kukuh IJM yang sebenarnya membantu untuk membina asas pendapatan berulangnya," tambah firma tersebut.
 

Pada 12 Mac 2025, IJM mengumumkan ia memperoleh kepentingan pegangan pajak selama 143 tahun dalam 25 Finsbury Circus daripada firma ekuiti swasta TPG Angelo Gordon.
 

Hartanah Gred II itu akan menjalani pengubahsuaian utama sebanyak £150 juta (RM863 juta), untuk meningkatkan jumlah keluasan lantai kasar sebanyak 26 peratus kepada 378,000 kaki persegi tetapi masih mengekalkan warisan seni binanya.
 

“Jumlah pelaburan akan berjumlah RM1.3 bilion (RM7.48 bilion) dan dengan diandaikan struktur ekuiti hutang 70:30, maka IJM perlu menanggung pinjaman tambahan sebanyak RM883 juta,” kata CGSI Research.
 

IJM sedang dalam rundingan lanjutan dengan penyewa berkualiti tinggi untuk memajak lebih daripada 60 peratus ruang bangunan dan memastikan penyewaan jangka panjang.
 

Tiada butiran lanjut mengenai kadar sewa yang berpotensi, tetapi CGSI Research berkongsi kajian oleh Savills pada 2023 yang mendedahkan bahawa bangunan alam sekitar, sosial dan tadbir urus peringkat teratas di Central London merekodkan sewa sebanyak £90 hingga £100 (RM517 hingga RM575) setiap kaki persegi.
 

Firma penyelidikan itu mengulangi saranan "tambah" dengan harga sasaran RM3.80 untuk kaunter syarikat tersebut kerana francais pembinaannya yang kukuh dan perniagaan cerucuk berputar sinerginya.
 

Pemangkin penarafan semula termasuk penganugerahan projek yang lebih pantas dan jualan tinggi hartanah manakala risiko penurunan termasuk penerimaan projek yang perlahan dan kos bahan mentah yang mahal.
 

Sementara itu, Kenanga Research menegaskan bahawa hasil tersirat daripada pelaburan IJM sebanyak 8.5 peratus hingga 10.8 peratus adalah menarik.
 

“Kami positif dengan perjanjian hartanah ini memandangkan harga pemerolehan yang berpatutan dan hasil sewa tersirat yang menarik," kata firma penyelidikan itu.
 

Ia menjangkakan pemulihan ketara sektor pembinaan daripada beberapa kerja infrastruktur awam seperti Pakej LRT Pulau Pinang 2 dan 3, projek tebatan banjir, serta pasaran pembinaan sektor swasta yang rancak.
 

IJM juga katanya, disokong oleh pelaburan besar-besaran dalam industri semikonduktor baharu dan pusat data. - DagangNews.com