KUALA LUMPUR 23 Dis - Pelabur Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) mendakwa bayaran hasil penjualan saham tertunggak hampir dua tahun, sehingga menjejaskan kebajikan ahli-ahlinya.
Justeru wakil pelabur tersebut, Ahmad Karami Lebai Yunus menuntut kepastian berhubung isu itu yang menimbulkan kebimbangan terhadap ahli dengan majoritinya terdiri daripada peneroka Felda sendiri.
Dia menambah, penjualan saham berkenaan dilaksanakan mereka dengan mengikut prosedur yang sah, namun bayaran balik tersebut masih belum diterima walaupun tempoh menunggu semakin berpanjangan.
“Pelabur tidak berhimpun tanpa sebab, sebaliknya kerana hak mereka tertangguh sudah lama dan tiada penjelasan munasabah diberikan,” katanya pada piket aman di pekarangan KPF di ibu negara hari ini.
Ahmad Karami tidak menolak yang kumpulan tersebut bersedia mengambil tindakan lanjut sekiranya isu itu gagal diselesaikan kerana masalah berkenaan memberi kesan ketara terutama pelabur warga emas.
Ramai kalangan mereka, memerlukan wang bagi tujuan rawatan kesihatan, selain waris peneroka yang berdepan kesukaran menguruskan harta pusaka kerana hasil penjualan saham masih belum dilunaskan.

Kira-kira 100 pelabur dan waris peneroka Felda mengadakan perhimpunan itu bagi menuntut pembayaran penuh dengan segera serta penjelasan rasmi bertulis termasuk jadual pembayaran kepada semua ahli.
"Kami turut mempersoalkan keutamaan pengurusan KPF apabila masih meluluskan pembiayaan baharu, walhal bayaran hak ahli sendiri terus tertangguh tanpa tarikh yang jelas," jelas Ahmad Karami.
Sementara itu mengulas perkara tersebut, Pengerusi KPF Datuk Mohd Banuri Aris berkata, koperasi berkenaan komited melaksanakan bayaran pengeluaran modal syer anggota secara terancang.
Usaha tersebut tambah beliau, selaras dengan keupayaan aliran tunai, serta keperluan memastikan kelangsungan perniagaan KPF sendiri, dengan keutamaan pembayaran diberikan kepada kes tertentu.
Ini termasuk anggota yang lebih memerlukan dana bagi tujuan ibadah haji dan umrah, rawatan penyakit kronik, isu pendidikan serta kes mendesak lain, tertakluk kepada kelulusan dan dokumen sokongan.
“KPF sentiasa menyantuni permohonan pengeluaran dana, namun perlu diimbangi keperluan pembayaran dengan operasi perniagaan agar pulangan jangka panjang kepada ahli dapat dikekalkan,” katanya.
Banuri turut memaklumkan pengurusan dan lembaga koperasi sentiasa meneliti langkah pengurangan risiko bagi memperbaiki aliran tunai, dengan hasrat memberikan pulangan lebih baik. - DagangNews.com








