KUALA LUMPUR 7 Jan — Pelabur wajar memberi perhatian teliti kepada pelbagai risiko SBS Nexus Berhad menjelang penyenaraian kumpulan tersebut di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 20 Januari 2026.
Penganalisis berpendapat, syarikat ini dinilai banyak bersandarkan kepada jenama utama ‘ShangHai’, kontrak jangka pendek, serta kebergantungan tinggi kepada pembekal perkhidmatan pihak ketiga.
Menurut TA Securities, kesemua risiko berkenaan seharusnya menjadi fokus utama pelabur walaupun kumpulan itu menawarkan prospek pertumbuhan menarik dalam sektor digital dan penjenamaan luaran.
"Bagaimanapun, kami yakin SBS Nexus masih mampu mengekalkan kedudukan sebagai penyedia pemasaran dengan gabungan perkhidmatan secara luar talian dan digital," katanya dalam nota kajian hari ini.
Tambahnya, segmen digitalnya kini menyumbang lebih 50% hasil, termasuk kempen pemasaran dalam talian, siaran digital, video produksi, digital luar, serta pembangunan aplikasi dan laman web.
Justeru, TA Securities turut menekankan kelebihan syarikat ini termasuk rekod prestasi terbukti lebih 22 tahun, perkhidmatan secara menyeluruh, dan pasukan pengurusan yang berpengalaman luas.
Dari segi kewangan jelas firma penyelidikan tersebut, SBS Nexus mencatat hasil sebanyak RM29.9 juta, naik 50% tahun ke tahun (YoY) pada FY24 dan keuntungan teras RM6.7 juta, meningkat 21.3% YoY.
"Berdasarkan perkembangan itu, kami menetapkan harga sasaran (TP) 29 sesaham bersandarkan 15 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) pada FY26, disokong model perniagaan aset ringan," katanya.
Sementara itu, RHB Research menilai peluang pertumbuhan dalam industri penjenamaan digital dengan merujuk tawaran awam permulaan (IPO) RM30.6 juta yang akan digunakan oleh kumpulan berkenaan.
Katanya, dana tersebut berpotensi dalam menambah baik perkhidmatan SBS Nexus apabila dimanfaatkan untuk penyediaan ibu pejabat baharu, pengembangan perniagaan, dan bayaran balik hutang sedia ada.
Sehubungan itu, firma berkenaan menjangkakan kadar pertumbuhan purata terkumpul (CAGR) keuntungan teras dicatatkan kumpulan tersebut selama tiga tahun boleh mencecah 26% dari FY24 hingga FY27.
"Kami turut menilai inisiatif MyUsahawanMedia yang digerakkan syarikat ini yang jelas menyasarkan potensi luas komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbahasa Melayu," kata RHB Research.
Pada masa sama, ia menetapkan nilai wajar TP ke atas SBS Nexus yang lebih tinggi kepada 31 sen sesaham, berasaskan 12 kali PER pada FY26, dengan memberi diskaun menarik berbanding purata sektor.
Secara keseluruhan tambah firma penyelidikan tersebut, kumpulan itu masih berupaya dalam menawarkan gabungan perkhidmatan secara luar talian dan pendigitalan dengan rekod pertumbuhan yang kukuh.
Para pelabur namun dinasihatkan menimbang risiko jenama, kontrak jangka pendek, dan kebergantungan pembekal sebelum membuat keputusan pelaburan menjelang penyenaraian berkenaan. - DagangNews.com








