Pelabur asing kembali jual ekuiti RM1.44 bilion di Bursa Malaysia, terbesar sejak akhir Ogos 2025 - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing kembali jual ekuiti RM1.44 bilion di Bursa Malaysia, terbesar sejak akhir Ogos 2025 - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Okt - Pelabur asing kembali menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia, selepas seminggu sebelum itu sebagai pembeli, dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.44 bilion.

 

MBSB Research berkata, angka tersebut merupakan aliran keluar yang paling besar dalam seminggu sejak kali terakhir dicatatkan pada minggu terakhir Ogos 2025. 


Kumpulan pelabur itu merupakan penjual bersih setiap hari dagangan dengan Jumaat paling tinggi iaitu RM327.0 juta, diikuti Rabu (RM307.8 juta), Isnin (RM288.7 juta) dan Selasa (RM281.7 juta).


"Sementara itu, Khamis mencatatkan jualan paling rendah sebanyak RM237.9 juta," kata firma penyelidikan tersebut dalam nota kajiannya hari ini.


Hanya satu sektor jelas MBSB Research, menyaksikan aliran masuk bersih asing pada minggu lalu iaitu teknologi dengan RM85.7 juta. 


Tiga sektor utama namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu perkhidmatan kewangan (RM491.7 juta), penjagaan kesihatan (RM171.2 juta) dan hartanah (RM145.5 juta).


Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan menukar rentak semula kepada aliran belian bersih dengan RM1.49 bilion, iaitu tertinggi dicatatkan sejak April 2025.


Bagaimanapun kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan mengekalkan jualan bersih selama lima minggu, apabila mencatat jumlah aliran keluar sebanyak RM50.6 juta.


Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat penyusutan luas pada minggu lalu dengan peruncit tempatan dan pelabur asing merekodkan penurunan masing-masing 3.9% dan 1.6%, manakala institusi tempatan meningkat 6.3%. - DagangNews.com