KUALA LUMPUR 24 Nov - Pelabur asing kembali menjual ekuiti di Bursa Malaysia, selepas seminggu sebelum itu menjadi pembeli, dengan mencatatkan aliran keluar bersih RM1.03 bilion, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih ekuiti untuk setiap hari dagangan kecuali Isnin yang mencatatkan aliran masuk sebanyak RM17.6 juta.
Selasa muncul sebagai hari jualan yang paling tinggi iaitu sebanyak RM458.5 juta, diikuti Jumaat (RM377.7 juta), Rabu (RM204.1 juta), dan Khamis (RM11.1 juta).
"Hanya dua sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perladangan (RM148.4 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM79.6 juta)," kata MBSB Research dalam notanya.
Tiga sektor utama lain namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu perkhidmatan dan produk industri (RM377.2 juta), utiliti (RM254.4 juta) serta telekomunikasi dan media (RM106.3 juta).
Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan kembali semula meneruskan rentak aliran belian bersih dengan mencatatkan sebanyak RM1.01 bilion.
Kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan meneruskan belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut, apabila mencatat jumlah aliran masuk sebanyak RM28.1 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah bercampur-campur dengan peruncit tempatan susut 0.3%, manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing meningkat 2.3% dan 16.8%. - DagangNews.com








