Pelabur asing kembali beli ekuiti RM577.1 juta di Bursa Malaysia - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing kembali beli ekuiti RM577.1 juta di Bursa Malaysia - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Okt - Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia, selepas seminggu sebelum itu menjual, dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM577.1 juta.


MBSB Research berkata, kumpulan tersebut merupakan pembeli bersih untuk tiga daripada lima hari dagangan dengan Khamis paling tinggi iaitu RM503.9 juta iaitu rekod tertinggi sejak 25 Mei 2025.


"Ini diikuti Rabu (RM154.0 juta) dan Isnin (RM52.8 juta), manakala Jumaat merekodkan jualan tertinggi (RM80.5 juta), disusuli Isnin (RM53.0 juta)," kata firma itu dalam nota kajiannya.


Tiga sektor utama katanya, mencatat aliran masuk bersih asing yang tertinggi ialah teknologi (RM339.7 juta), penjagaan kesihatan (RM313.6 juta) serta pembinaan (RM51.0 juta).


Sebaliknya, tiga sektor mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu telekomunikasi dan media (RM85.1 juta), perkhidmatan dan produk industri (RM48.4 juta) dan utiliti (RM33.1 juta).


Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan menukar rentak semula kepada aliran jualan bersih dengan sebanyak RM304.7 juta, selepas seminggu merekodkan aktiviti belian yang rendah.


Kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan mengekalkan jualan bersih selama empat minggu, apabila mencatat jumlah aliran keluar sebanyak RM272.4 juta.


Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat perluasan pada minggu lalu dengan pelabur runcit dan institusi tempatan merekodkan peningkatan masing-masing 10.1% dan 5.6%, manakala pelabur asing kira-kira 12.2%. - DagangNews.com