KUALA LUMPUR 12 Jan - Pelabur asing kembali membeli ekuiti di Bursa Malaysia selepas empat minggu berturut-turut menjadi penjual, dengan aliran masuk bersih RM42.5 juta, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, mereka bagaimanapun menjadi pembeli bersih hanya untuk dua hari dengan paling tinggi pada Jumaat sebanyak RM191.0 juta, diikuti Rabu iaitu RM80.4 juta.
Baki tiga hari lain jelasnya, pelabur asing mencatatkan jualan bersih dengan yang paling besar pada Khamis iaitu kira-kira RM153.4 juta, disusuli Khamis (RMRM55.7 juta) dan Isnin (RM19.8 juta).
"Tiga sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perkhidmatan dan produk industri (RM206.7 juta) serta hartanah (RM69.0 juta) serta teknologi (RM63.0 juta)," kata MBSB Research dalam notanya.
Sementara tiga sektor utama lain namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu utiliti (RM207.5 juta), perladangan (RM123.5 juta) serta REIT (RM30.2 juta).
Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan masih lagi meneruskan rentak aliran belian bersih untuk minggu kelapan berturut-turut dengan mencatatkan sebanyak RM126.6 juta.
Bagaimanapun kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan meneruskan jualan bersih untuk minggu keenam, apabila mencatat jumlah aliran keluar sebanyak RM169.2 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah meningkat dengan peruncit tempatan naik 30.5%, manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing bertambah 36.7% dan 67.3%. - DagangNews.com








