KUALA LUMPUR 8 Dis - Pelabur asing kembali membeli ekuiti di Bursa Malaysia selepas dua minggu berturut-turut menjadi penjual, dengan aliran masuk bersih RM11.6 juta, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pelabur asing hanya menjual bersih ekuiti untuk dua hari dagangan iaitu Khamis dan Jumaat yang masing-masing sebanyak RM80.3 juta dan RM172.3 juta.
Baki tiga hari lain jelasnya, mencatatkan belian oleh para pelabur tersebut dengan Selasa yang paling besar iaitu RM155.7 juta, diikuti Isnin (RM58.0 juta) dan Raby (RM50.5 juta).
"Tiga sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perkhidmatan kewangan (RM532.0 juta), perkhidmatan dan produk industri (RM83.0 juta) serta telekomunikasi dan media (RM58.6 juta)," kata MBSB Research dalam notanya.
Tiga sektor utama lain jelasnya, namun mengalami aliran keluar bersih asing yang tertinggi iaitu utiliti (RM351.9 juta), penjagaan kesihatan (RM108.1 juta) serta teknologi (RM86.7 juta).
Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan masih lagi meneruskan rentak aliran belian bersih untuk minggu yang kedua berturut-turut dengan mencatatkan sebanyak RM83.0 juta.
Bagaimanapun kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan tidak meneruskan belian bersih pada minggu lalu, apabila mencatat jumlah aliran keluar sebanyak RM94.6 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah menyusut dengan peruncit tempatan jatuh 3.3%, manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing merosot 20.6% dan 28.8%. - DagangNews.com








