KUALA LUMPUR 21 Okt - Pelabur asing meneruskan rentak jualan di Bursa Malaysia, untuk minggu kedua berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM962.8 juta, kata MBSB Research.
Ia berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari dagangan dengan Isnin paling tinggi iaitu RM393.5 juta, diikuti Selasa (RM320.0 juta), Jumaat (RM190.8 juta) dan Rabu (RM47.4 juta).
"Sementara itu, Khamis pula mencatatkan jualan yang paling rendah pada minggu lalu iaitu sebanyak RM11.0 juta," kata firma penyelidikan tersebut dalam satu nota kajiannya hari ini.
Hanya tiga sektor jelas MBSB Research, menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perkhidmatan dan produk pengguna (RM518.9 juta), teknologi (RM87.3 juta) serta pembinaan (RM6.5 juta).
Tiga sektor utama namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu perkhidmatan kewangan (RM835.5 juta), penjagaan kesihatan (RM270.3 juta) dan utiliti (RM106.7 juta).
Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan masih meneruskan rentak aliran belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan mencatatkan sebanyak RM1.32 bilion.
Bagaimanapun kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan mengekalkan jualan bersih selama enam minggu, apabila mencatat jumlah aliran keluar sebanyak RM357.4 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat peningkatan luas dengan peruncit tempatan dan pelabur asing naik masing-masing 26.7% dan 18.7%, manakala institusi tempatan susut 4.3%. - DagangNews.com








