Pelabur asing jual ekuiti RM884.6 juta di Bursa Malaysia, minggu keempat berturut-turut, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti RM884.6 juta di Bursa Malaysia, minggu keempat berturut-turut, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Nov - Pelabur asing meneruskan rentak jualan ekuiti di Bursa Malaysia, untuk minggu keempat berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih RM884.6 juta, kata MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia lebih tinggi berbanding hanya sebanyak RM14.6 juta pada minggu sebelumnya, dengan pelabur asing merupakan penjual bersih ekuiti pada setiap hari dagangan.


Isnin tambahnya, mencatatkan jualan yang paling tinggi iaitu sebanyak RM244.0 juta, diikuti Selasa (RM237.2 juta), Jumaat (RM216.0 juta), Khamis (RM124.3 juta) dan Rabu (RM63.2 juta).

 

 

 

 

 

 

 


"Tiga sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perladangan (RM151.2 juta), teknologi (RM89.7 juta) serta media dan telekomunikasi (RM5.7 juta)," kata MBSB Research dalam notanya hari ini.


Tiga sektor utama lain namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu perkhidmatan kewangan (RM513.7 juta), penjagaan kesihatan (RM192.8 juta) dan utiliti (RM162.6 juta).


Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan masih meneruskan rentak aliran belian bersih untuk minggu keempat berturut-turut dengan mencatatkan sebanyak RM812.7 juta.

 

 

 

 

 

 


Bagaimanapun kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan mengakhiri jualan bersih selama tujuh minggu, apabila mencatat jumlah aliran belian sebanyak RM72.0 juta.


Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat peningkatan luas dengan peruncit tempatan, institusi tempatan dan pelabur asing bertambah masing-masing 1.0%, 15.4% dan 6.1%. - DagangNews.com