Pelabur asing jual ekuiti RM85.4 juta di Bursa Malaysia, minggu kelima berturut-turut, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti RM85.4 juta di Bursa Malaysia, minggu kelima berturut-turut, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Nov - Pelabur asing meneruskan rentak jualan ekuiti di Bursa Malaysia, untuk minggu kelima berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM85.4 juta, kata MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih ekuiti untuk selama tiga daripada lima hari dagangan dengan Isnin yang paling tinggi iaitu RM158.8 juta.

 

 

 

 

 

 

 

 

Ini diikuti dengan Khamis (RM129.4 juta) dan Jumaat (RM54.4 juta), manakala aliran masuk bersih pula dicatatkan pada Rabu (RM138.4 juta) dan Khamis (RM109.8 juta).


"Tiga sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perladangan (RM138.4 juta), perkhidmatan dan produk pengguna (RM137.1 juta) serta penjagaan kesihatan (RM80.2 juta)," kata MBSB Research dalam notanya.


Tiga sektor utama lain namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu utiliti (RM134.3 juta), telekomunikasi dan media (RM91.4 juta) serta teknologi (RM83.4 juta).


Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan masih meneruskan rentak aliran belian bersih untuk minggu kelima berturut-turut dengan mencatatkan sebanyak RM280.7 juta.

 

 

 

 

 


Bagaimanapun kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan tidak meneruskan belian bersih minggu sebelumnya, apabila mencatat jumlah aliran keluar sebanyak RM195.2 juta.


Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat penyusutan luas dengan peruncit tempatan dan institusi tempatan masing-masing 6.4% dan 15.2%, tetapi pelabur asing meningkat 3.2%. - DagangNews.com