KUALA LUMPUR 18 Ogos — Pelabur asing meneruskan rentak jualan di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut apabila mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM566.1 pada minggu lalu.
MBSB Research berkata, jumlah tersebut namun berkurangan lebih separuh berbanding aliran keluar pada minggu sebelumnya iaitu sebanyak RM1.14 bilion.
Kata firma penyelidikan tersebut, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar antara RM94.0 juta hingga RM167.4 juta.
"Aliran keluar terbesar direkodkan pada Jumaat, diikuti Khamis dengan RM103.5 juta, Selasa (RM101.5 juta), Isnin (RM99.8 juta) manakala Rabu yang paling rendah," katanya dalam satu nota.
Firma penyelidikan itu berkata, tiga sektor mencatatkan aliran masuk bersih pelabur asing iaitu perladangan (RM77.7 juta), hartanah (RM52.7 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM42.2 juta).
Kata MBSB Research, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih pelabur asing tertinggi ialah utiliti (RM209.5 juta), telekomunikasi dan media (RM185.5 juta) serta penjagaan kesihatan (RM152.7 juta).
Institusi tempatan katanya, meneruskan aliran belian bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut, apabila mencatatkan sebanyak RM760.5 juta, berbanding RM1.03 bilion pada minggu sebelumnya
Sementara itu, peruncit tempatan tidak meneruskan aktiviti belian bersih mereka untuk minggu kelima berturut-turut, apabila mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM194.4 juta.
Purata volum dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan minggu lalu. Pelabur asing dan institusi tempatan mencatatkan pertambahan masing-masing 1.5% dan 8.9%, manakala peruncit tempatan mencatatkan penurunan sebanyak 3.0%. - DagangNews.com








