Pelabur asing jual ekuiti RM565.2 juta di Bursa Malaysia, minggu kelima berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti RM565.2 juta di Bursa Malaysia, minggu kelima berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Jun — Pelabur asing meneruskan rentak jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut apabila mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM565.2 juta, pada minggu lalu.


MIDF Research berkata, jumlah berkenaan adalah lebih tinggi berbanding RM444.4 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.


Katanya, pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari dengan aliran keluar antara RM52.5 juta sehingga RM202.2 juta. 


Firma penyelidikan itu berkata, aliran keluar bersih tertinggi dicatatkan pada hari Jumaat, diikuti Isnin sebanyak RM130.3 juta.


Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah pengangkutan dan logistik (RM95.8 juta), amanah pelaburan hartanah (RM38.4 juta) serta pembinaan (RM28.9 juta). 


"Tiga sektor mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi iaitu perkhidmatan kewangan (RM387.4 juta) penjagaan kesihatan (RM110.0 juta) serta perkhidmatan dan produk perindustrian (RM52.9 juta)," katanya dalam satu nota kajian.


MIDF Research berkata, institusi tempatan meneruskan pembelian mereka untuk lima minggu berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM510.6 juta.


Sementara itu, pelabur runcit tempatan pula kembali kepada pembelian mereka pada minggu lalu, dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM54.7 juta.


Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan penyusutan secara menyeluruh sepanjang minggu lalu kecuali pelabur asing.


Institusi tempatan dan peruncit tempatan mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak 13.3% dan 10.9%, manakala pelabur asing mencatatkan lonjakan sebanyak 24.0%. - DagangNews.com