KUALA LUMPUR 16 Jun — Pelabur asing meneruskan rentak jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut apabila mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM444.4 juta, pada minggu lalu.
MIDF Research berkata, jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding RM387.4 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.
Katanya, pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari kecuali Rabu dengan aliran keluar antara RM34.6 juta sehingga RM211.6 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, aliran keluar bersih tertinggi dicatatkan pada hari Jumaat, diikuti Khamis sebanyak RM127.4 juta.
Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan dan produk perindustrian (RM19.4 juta), pengangkutan (RM17.3 juta) serta amanah pelaburan hartanah (RM8.2 juta).
"Tiga sektor mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi iaitu perkhidmatan kewangan (RM305.2 juta) penjagaan kesihatan (RM51.7 juta) serta hartanah (RM36.8 juta)," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research berkata, institusi tempatan meneruskan pembelian mereka untuk empat minggu berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM620.6 juta.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan pula mengekalkan trend penjualan mereka selama dua minggu, dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM176.2 juta.
Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan perkembangan secara menyeluruh sepanjang minggu lalu.
Institusi tempatan dan peruncit tempatan mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 12.6% dan 15.6%, manakala pelabur asing mencatatkan kejatuhan sebanyak 8.4%. - DagangNews.com








