Pelabur asing jual ekuiti RM187.6 juta di Bursa Malaysia, minggu kesembilan berturut-turut, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti RM187.6 juta di Bursa Malaysia, minggu kesembilan berturut-turut, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Sept - Pelabur asing meneruskan rentak jualan di Bursa Malaysia untuk minggu kesembilan berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM187.6 juta.


MBSB Research berkata, jualan bersih sepanjang minggu lalu namun kurang berbanding minggu sebelumnya berikutan hari dagangan yang ditutup pada Isnin dan Jumaat kerana cuti umum.


Kata firma penyelidikan tersebut, pelabur asing merupakan penjual bersih pada dua daripada tiga hari dagangan dengan hanya Rabu yang mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM173.2 juta.

 

 

 

 

 

 


"Aliran keluar terbesar direkodkan pada Selasa iaitu sebanyak RM251.5 juta, manakala Khamis pula ialah RM109.3 juta," kata firma berkenaan dalam nota kajiannya hari ini.


Tiga sektor utama mencatat aliran masuk bersih asing tertinggi ialah pembinaan (RM135.3 juta), pengangkutan dan logistik (RM41.5 juta) serta penjagaan kesihatan (RM38.9 juta).


Sebaliknya, tiga sektor mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu perkhidmatan kewangan (RM417.1 juta), telekomunikasi dan media (RM43.1 juta) serta utiliti (RM35.9 juta).


Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan meneruskan aliran belian bersih untuk minggu keenam berturut-turut dengan sebanyak RM148.6 juta. 


Kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan mengekalkan aliran jualan bersih selama dua minggu, apabila mencatat jumlah aliran belian sebanyak RM148.6 juta.

 

 

 

 

 


Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat penurunan merentasi semua kumpulan pada minggu lalu.


Pelabur runcit dan institusi tempatan merekodkan penyusutan masing-masing sebanyak 15.7% dan 17.5%, manakala pelabur asing mencatat penurunan besar kira-kira 42.2%. - DagangNews.com