Pelabur asing jual ekuiti RM14.6 juta di Bursa Malaysia, minggu ketiga berturut-turut, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti RM14.6 juta di Bursa Malaysia, minggu ketiga berturut-turut, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Okt - Pelabur asing meneruskan rentak jualan ekuiti di Bursa Malaysia, untuk minggu ketiga berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM14.6 juta, kata MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih ekuiti pada dua hari dagangan dengan Rabu yang paling tinggi iaitu RM73.3 juta, diikuti Selasa (RM68.9 juta).


"Sementara itu, Khamis dan Jumaat pula mencatatkan belian pada minggu lalu iaitu masing-masing sebanyak RM97.5 juta dan RM30.1 juta," kata firma itu dalam satu nota kajiannya hari ini.


Tiga sektor jelas MBSB Research, menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perkhidmatan dan produk pengguna (RM195.7 juta), perkhidmatan dan produk industri (RM83.0 juta) serta teknologi (RM66.9 juta). 


Tiga sektor utama lain namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu penjagaan kesihatan (RM200.7 juta), perkhidmatan kewangan (RM142.7 juta) serta telekomunikasi dan media (RM52.4 juta).


Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan masih meneruskan rentak aliran belian bersih ekuiti untuk minggu ketiga berturut-turut dengan mencatatkan sebanyak RM111.1 juta.


Bagaimanapun kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan mengekalkan jualan bersih selama tujuh minggu, apabila mencatat jumlah aliran keluar sebanyak RM96.5 juta.


Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat penyusutan luas dengan peruncit tempatan, institusi tempatan dan pelabur asing berkurangan masing-masing 26.3%, 18.8% dan 25.1%. - DagangNews.com