Pelabur asing jual ekuiti RM1.14 bilion di Bursa Malaysia, minggu kelima berturut-turut, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti RM1.14 bilion di Bursa Malaysia, minggu kelima berturut-turut, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Ogos — Pelabur asing meneruskan rentak jualan di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut apabila mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.14 bilion pada minggu lalu.

 

MBSB Research berkata, jumlah tersebut adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding aliran keluar pada minggu sebelumnya iaitu sebanyak RM378.1 juta.

 

Kata firma penyelidikan tersebut, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar antara RM145.6 juta hingga RM318.1 juta.

 

 

 

 

 

 

 

"Aliran keluar terbesar direkodkan pada Selasa, diikuti Khamis dengan RM291.0 juta, Isnin (RM205.7 juta), Rabu (RM174.7 juta) manakala Jumaat yang paling rendah," katanya dalam satu nota.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hanya dua sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih pelabur asing iaitu perkhidmatan dan produk perindustrian (62.7 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM36.2 juta).

 

Kata MBSB Research, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih pelabur asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM344.3 juta), penjagaan kesihatan (RM239.1 juta) dan utiliti (RM210.2 juta).

 

Institusi tempatan katanya, meneruskan aliran belian bersih mereka untuk minggu kedua berturut-turut, apabila mencatatkan sebanyak RM1.03 bilion, iaitu 3.9 kali ganda lebih tinggi berbanding RM263.7 juta pada minggu sebelumnya.

 

 

 

 

 

 

Sementara itu, peruncit tempatan juga meneruskan aktiviti belian bersih mereka untuk minggu kelima berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM105.5 juta.

 

Purata volum dagangan harian (ADTV) mencatatkan penyusutan secara menyeluruh minggu lalu. Pelabur asing dan peruncit tempatan mencatatkan penurunan masing-masing 6.6% dan 6.1%, manakala institusi tempatan mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8%. - DagangNews.com