KUALA LUMPUR 1 Dis - Pelabur asing terus menjual ekuiti di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut, dengan mencatatkan aliran keluar bersih RM484.8 juta, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih ekuiti untuk dua hari dagangan iaitu Jumaat yang paling sebanyak RM484.5 juta diikuti Isnin pula iaitu RM328.4 juta.
Baki tiga hari lain jelasnya, mencatatkan belian oleh para pelabur tersebut dengan Khamis yang paling besar iaitu RM158.3 juta, diikuti Rabu (RM120.5 juta) dan Selasa (RM49.4 juta).
"Tiga sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perkhidmatan kewangan (RM226.0 juta), telekomunikasi dan media (RM154.0 juta) serta perkhidmatan dan produk pengguna (RM69.6 juta)," kata MBSB Research dalam notanya.
Tiga sektor utama lain namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu utiliti (RM420.5 juta), perkhidmatan dan produk industri (RM310.1 juta) serta pembinaan (RM63.6 juta).
Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan masih lagi meneruskan rentak aliran belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan mencatatkan sebanyak RM356.4 juta.
Kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan meneruskan belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut, apabila mencatat jumlah aliran masuk sebanyak RM128.4 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah meningkat dengan peruncit tempatan naik 9.3%, manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing meningkat 1.2% dan 42.0%. - DagangNews.com








