Pelabur asing jual ekuiti bernilai RM363.3 juta di Bursa Malaysia minggu kedua berturut-turut, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti bernilai RM363.3 juta di Bursa Malaysia minggu kedua berturut-turut, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Dis - Pelabur asing terus menjual ekuiti di Bursa Malaysia untuk tempoh dua minggu berturut-turut, dengan mencatatkan aliran keluar bersih RM363.3 juta, kata MBSB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, mereka menjadi penjual bersih ekuiti pada tiga hari dagangan dengan paling tinggi Isnin (RM133.8 juta), diikuti Selasa (RM132.8 juta) dan Rabu (RM104.5 juta).


Baki dua hari lain jelasnya, mencatatkan belian oleh para pelabur tersebut dengan Jumaat yang paling besar iaitu kira-kira RM5.1 juta, disusuli Khamis sebanyak RM2.6 juta.


"Tiga sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perkhidmatan kewangan (RM153.1 juta), perkhidmatan dan produk industri (RM80.9 juta) serta perladangan (RM25.5 juta)," kata MBSB Research dalam notanya.


Tiga sektor utama lain namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu utiliti (RM355.7 juta), pembinaan (RM74.1 juta) serta perkhidmatan dan produk pengguna (RM64.1 juta).


Firma penyelidikan tersebut namun berkata, institusi tempatan masih lagi meneruskan rentak aliran belian bersih untuk minggu kelima berturut-turut dengan mencatatkan sebanyak RM508.6 juta.


Bagaimanapun kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan meneruskan jualan bersih untuk minggu ketiga, apabila mencatat jumlah aliran keluar sebanyak RM145.3 juta.


Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah meningkat dengan peruncit tempatan naik 3%, manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing bertambah 4.5% dan 5.1%. - DagangNews.com