KUALA LUMPUR 13 April - Pelabur asing terus membeli ekuiti di Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan mencatatkan aliran masuk bersih RM470.3 juta, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pembelian paling tinggi dicatatkan pada Rabu sebanyak RM161.8 juta, diikuti Selasa (RM161.3 juta), Khamis (RM122.2 juta), dan Jumaat (RM69.7 juta).
Tiga sektor utama jelasnya, mencatatkan aliran masuk bersih asing terbesar iaitu perladangan (RM230.7 juta), perkhidmatan dan produk industri (RM204.0 juta) serta perkhidmatan kewangan (RM130.0 juta).
"Tiga sektor menyaksikan aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu perkhidmatan dan produk pengguna (RM53.9 juta), telekomunikasi dan media (RM50.8 juta) serta teknologi (RM44.5 juta)," katanya.
MBSB Research dalam nota analisis tersebut menambah, institusi tempatan terus mencatatkan penjualan bersih sebanyak RM659.4 juta di Bursa Malaysia untuk minggu yang ketiga berturut-turut.
Pada masa yang sama jelasnya, pelabur runcit tempatan pula mencatatkan rentak pembelian bersih selepas seminggu menjadi penjual, dengan jumlah aliran masuk sebanyak RM189.2 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) katanya, adalah menurun dengan peruncit tempatan, institusi tempatan dan pelabur asing susut masing-masing 21.6%, 23.0%, dan 29.6%. - DagangNews.com








