Pelabuhan Klang sasar 15 juta TEU kargo tahun ini selepas pecah rekod 2024 - Anthony Loke | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabuhan Klang sasar 15 juta TEU kargo tahun ini selepas pecah rekod 2024 - Anthony Loke

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Feb — Pelabuhan Klang di Selangor menyasarkan untuk dapat meningkatkan lagi keupayaan pengendalian kontenanya sebanyak 2.3 peratus kepada sejumlah 15 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada tahun ini.
 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia mampu dicapai dengan disokong kadar pertumbuhan ekonomi domestik, projek pembangunan infrastruktur, peningkatan permintaan kargo dalam sektor pembuatan dan logistik, serta dasar mesra perdagangan kerajaan.
 

Malahan tambah beliau, 2024 lalu merupakan tahun yang cemerlang bagi industri pelabuhan dan maritim Malaysia, terutamanya dari segi pengendalian kontena apabila mencatatkan sejumlah 30.68 juta TEU, meningkat 8.6 peratus berbanding 2023.
 

“Pelabuhan Klang sendiri berupaya mengendalikan sebanyak 14.64 juta TEU, mencerminkan peningkatan 4.5 peratus berbanding 2023, dengan menyumbang kira-kira 47.7 peratus daripada jumlah pengendalian kontena keseluruhan Malaysia," katanya.
 

Kejayaan tersebut ujar beliau, menandakan pencapaian tertinggi dan paling bersejarah bagi Pelabuhan Klang sejak ia memulakan operasi kontena pada 1973 dan menekanan semula peranan pelabuhan itu sebagai hab logistik serantau yang utama.
 

"Pencapaian hebat ini juga selaras dengan pengukuhan rangkaian perkapalan ke destinasi utama di seluruh dunia," kata beliau pada majlis pelancaran portal Malaysia Maritime Single Window (MMSW) dan sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di sini.
 

Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) secara rasmi melancarkan kemudahan aplikasi atas talian tersebut sebagai salah satu inisiatif digital yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kecekapan perdagangan maritim Malaysia.
 

Sistem ini menyediakan platform atas talian secara bersatu yang memperkemaskan dan mendigitalkan proses pelepasan pelabuhan, meningkatkan ketelusan, kecekapan kos dan mempercepatkan pergerakan kargo.
 

Mengulas lanjut, Loke berkata, data MMSW menunjukkan bahawa dari 1 Jun hingga 31 Disember 2024, sebanyak 10,682 kapal menggunakan sistem itu untuk pemprosesan ketibaan dan pelepasan di pelabuhan seluruh negara.
 

"Jumlah ini dijangka meningkat apabila banyak pelabuhan dan jeti persendirian akan berintegrasi ke dalam sistem," katanya sambil menegaskan sokongan Kementerian Pengangkutan menggalakkan semua pengguna pelabuhan memaksimumkan faedah MMSW.
 

Pada masa yang sama, beliau berkata, maklum balas pengguna mengesahkan bahawa MMSW telah meningkatkan kecekapan dengan ketara, mengurangkan birokrasi dan memperkemas proses pelepasan pelabuhan melalui pendigitalan.
 

Kementerian tersebut tambah beliau, malah berhasrat untuk terus mengembangkan MMSW kepada fasa dua tidak lama lagi dengan memasukkan fungsi pengesanan dan pemantauan kontena. - DagangNews.com