Pelabelan kandungan AI lebih jelas antara syor dikemukakan bagi membentuk persekitaran digital selamat, beretika - CMCF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabelan kandungan AI lebih jelas antara syor dikemukakan bagi membentuk persekitaran digital selamat, beretika - CMCF

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 26 Nov – Pelabelan kandungan kecerdasan buatan (AI) yang lebih jelas, penguatkuasaan terhadap tanggungjawab individu dan platform antara cadangan utama yang dikemukakan dalam laporan Perundingan Awam Kebangsaan 2025 bagi membentuk persekitaran digital yang lebih selamat dan beretika.

 

Dalam perundingan awam sempena semakan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia, antara dapatan dan cadangan penting lain yang diketengahkan termasuk keperluan langkah perlindungan lebih kukuh terhadap kanak-kanak, khususnya dalam membanteras Bahan Penderaan Seksual Kanak-kanak (CSAM). 

 

Orang ramai menuntut peraturan yang lebih jelas, kurang kekaburan serta peningkatan tahap akauntabiliti platform digital dalam melindungi golongan bawah umur.

 

Laporan itu turut menekankan kepentingan memperketat standard kandungan kanak-kanak, termasuk pematuhan kepada undang-undang perlindungan kanak-kanak, standard pengelasan kandungan serta amalan terbaik bagi memastikan kandungan sesuai usia, tidak ganas dan memupuk nilai positif. 

 

Responden juga menegaskan data kanak-kanak tidak wajar dijadikan aset pemasaran, selain fungsi pemprofilan perlu dimatikan secara lalai dan standard lebih tinggi diperlukan sebelum sebarang data dikumpul atau digunakan.

 

Dalam aspek kepelbagaian dan representasi, masyarakat menyuarakan keperluan untuk memastikan kandungan digital menggambarkan semua kumpulan secara adil dan penuh hormat, termasuk komuniti migran serta masyarakat Orang Asli, bagi mengelakkan diskriminasi, stereotaip dan salah gambaran dalam ekosistem digital.

 

Bagi pengendalian aduan, terdapat sokongan jelas supaya Biro Aduan CMCF diberi kuasa mengendalikan bukan sahaja kandungan baharu, malah kandungan lama atau kandungan yang muncul semula, mengambil kira realiti sifat kandungan digital yang boleh tersebar semula dan memberi kesan jangka panjang kepada individu serta masyarakat.

 

Dalam konteks inklusiviti dan bahasa hormat, laporan tersebut turut menggariskan keperluan penggunaan istilah yang tepat, inklusif dan berhemah, khususnya apabila merujuk kepada golongan orang kurang upaya, bagi memastikan penyampaian kandungan lebih bertanggungjawab dan beretika.

 

Sementara itu, dari sudut AI dan teknologi baharu, orang ramai menuntut pelaksanaan pelabelan kandungan yang lebih telus, penetapan tanggungjawab individu yang lebih jelas serta kewajipan realistik ke atas platform digital bagi menangani risiko manipulasi maklumat, penipuan dan penyalahgunaan teknologi pintar.

 

Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF) dalam kenyataan hari ini berkata, seramai 1,891 penyertaan diterima sepanjang perundingan selama dua bulan, dari 8 September hingga 7 November 2025.

 

“Penyertaan ini suatu indikator jelas komitmen dan minat masyarakat dalam membentuk persekitaran digital yang lebih selamat dan beretika.

 

“Penyumbang merangkumi pelbagai segmen masyarakat, termasuk orang awam, pemain industri, kumpulan advokasi dan para profesional kandungan yang berkongsi pandangan mengenai piawaian kandungan bertanggungjawab dalam era digital,” katanya. - DagangNews.com