Risiko ekonomi global belum berakhir walaupun terdapat perkembangan positif konflik di Timur Tengah - Menteri Ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Risiko ekonomi global belum berakhir walaupun terdapat perkembangan positif konflik di Timur Tengah - Menteri Ekonomi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Jun – Kerajaan menegaskan walaupun perkembangan diplomatik di peringkat antarabangsa menunjukkan petanda yang lebih positif, semua risiko yang boleh menjejaskan ekonomi global masih belum berakhir sepenuhnya.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sehubungan itu, strategi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kekal relevan bagi memastikan ekonomi negara terus berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global yang berpanjangan.

 

Katanya, strategi RMK13 berpandukan kepada tiga keutamaan utama yang bertujuan melindungi kesejahteraan rakyat, memastikan kesinambungan aktiviti ekonomi serta memperkukuh asas ekonomi negara untuk jangka panjang.

 

"Di bawah RMK13, tumpuan akan terus diberikan kepada industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, HGHV, serta sektor strategik berimpak tinggi, khususnya reka bentuk litar bersepadu, IC, semikonduktor, ekonomi digital, tenaga baharu dan teknologi hijau. 

 

"Dalam hal ini, empat syarikat tempatan telah ditawarkan akses token untuk mempercepat pembangunan produk semikonduktor yang direka bentuk di Malaysia," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman Begri (Betong), Datuk Seri Ir.  Hasni Mohammad (Simpang Renggam) dan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Pekan) yang bertanya tentang kesan ekonomi susulan gangguan perdagangan di Selat Hormuz terhadap kos operasi industri tempatan.

 

Akmal Nasrullah berkata, gangguan perdagangan di Selat Hormuz memberi tekanan nyata kepada ekonomi global dan Malaysia tidak terkecuali daripada kesannya. 

 

Namun katanya, setakat ini kesan kepada ekonomi negara masih dapat ditampung sebahagiannya melalui penyesuaian rantaian bekalan, penyerapan kos oleh firma serta langkah dasar Kerajaan yang membantu mengehadkan pemindahan kos kepada harga domestik. 

 

"Kerajaan akan terus mengambil pendekatan berwaspada, berpandukan data dan bersasar. 

 

"Fokus utama Kerajaan ialah memastikan rakyat dilindungi, bekalan asas kekal stabil, industri terus beroperasi dan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan dalam tempoh RMK13," katanya. - DagangNews.com