KUALA LUMPUR 22 Jun – AirAsia X Bhd (AAX) sudah mula menurunkan tambang kira-kira lima peratus sejak 15 Jun lalu, selaras dengan penurunan kos bahan api dan langkah pelarasan lanjut akan dibuat secara berperingkat bergantung kepada kestabilan harga minyak pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Bo Lingam berkata syarikat sedang menilai harga secara berterusan setiap minggu berdasarkan pergerakan kos bahan api yang menjadi komponen utama operasi syarikat penerbangan.
Beliau berkata penurunan harga minyak jet yang berlaku sejak kebelakangan ini memberi ruang kepada syarikat untuk melaraskan semula struktur tambang memandangkan ia terpaksa menaikkan harga bagi menampung lonjakan kos operasi sebelum ini.
“Buat masa ini kami sedang semak semula tambang dari minggu ke minggu. Apabila harga bahan api menurun, kami juga akan turunkan harga tiket,” katanya pada satu sesi taklimat di Sepang.
Namun, syarikat penerbangan tambang murah itu menjelaskan pelarasan harga itu akan dibuat secara berperingkat bergantung kepada kestabilan pasaran minyak global.
Harga minyak jet meningkat mendadak ketika konflik di Asia Barat sebelum ini, mencecah sehingga sekitar AS$240 setong, berbanding paras semasa sekitar AS$111 hingga AS$112 setong.
Sebelum tercetusnya ketegangan tersebut, harga minyak jet berada pada paras lebih rendah sekitar AS$85 hingga AS$90 setong.

Kenaikan harga bahan api sebelum ini memaksa AAX menaikkan tambang antara 30 hingga 40 peratus dalam tempoh tiga bulan bagi menampung tekanan kos yang meningkat.
Dalam tempoh sama, syarikat turut mengambil langkah mengurangkan laluan penerbangan yang tidak menguntungkan serta melaksanakan penjimatan kos melalui kecekapan operasi dan pengurangan perbelanjaan.
Bagaimanapun, tidak semua laluan yang digantung akan dikembalikan semula kerana sebahagiannya dianggap tidak lagi berdaya maju dari sudut keuntungan jangka panjang.
Menurut Bo Lingam, laluan yang akan disambung semula hanya melibatkan destinasi yang masih berpotensi dan dijangka kembali beroperasi sekitar akhir Ogos atau awal September ini.
Syarikat itu turut mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM154.9 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, dipengaruhi oleh kerugian pertukaran asing serta kos bahan api yang tinggi walaupun permintaan penumpang kekal kukuh.
Dalam pada itu, AAX kini sedang memperkenalkan strategi perlindungan harga bahan api iaitu mekanisme lindung nilai berdasarkan tempoh tempahan tiga bulan bagi mengurangkan risiko turun naik harga minyak pada masa hadapan.
Langkah tersebut sedang dibangunkan sejak awal tahun dengan kerjasama institusi kewangan, namun tertangguh akibat ketidaktentuan pasaran susulan konflik Asia Barat yang berlaku secara mengejut.
Dengan strategi baharu itu, syarikat berharap dapat menstabilkan kos operasi serta mengurangkan kesan turun naik harga minyak terhadap tambang dan keuntungan syarikat pada masa akan datang. - DagangNews.com








