Ajinomoto Malaysia bakal dinyahsenarai menerusi penswastaan bernilai RM603.4 juta oleh AJICO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ajinomoto Malaysia bakal dinyahsenarai menerusi penswastaan bernilai RM603.4 juta oleh AJICO

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Jun – Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) bakal diswastakan oleh syarikat induknya dari Jepun, Ajinomoto Co., Inc. (AJICO), menerusi cadangan pelaksanaan pengurangan modal secara terpilih dan pembayaran balik modal (SCR) bernilai kira-kira RM603.4 juta.

 

Menerusi cadangan yang dikemukakan kepada lembaga pengarah AMB dan diumumkan kepada Bursa Malaysia hari ini, AJICO menawarkan bayaran tunai RM20 bagi setiap saham AMB yang dipegang pemegang saham selain dirinya, mewakili premium antara 30.68% hingga 49.93% berbanding harga pasaran semasa syarikat itu.

 

AJICO, yang kini memiliki 30.63 juta saham atau 50.38% kepentingan dalam AMB, berkata pelaksanaan itu akan melibatkan pembatalan semua saham yang dipegang pemegang saham minoriti, sekali gus membuka laluan kepada pengeluar produk perasa dan makanan itu menjadi anak syarikat milik penuhnya.

 

Harga tawaran RM20 sesaham itu menilai kepentingan pemegang saham minoriti pada RM603.4 juta, melibatkan kira-kira 30.17 juta saham yang dipegang pemegang saham yang layak, bersamaan 49.62% daripada modal saham terbitan AMB.

 

Di bawah struktur penswastaan yang dicadangkan, AMB akan melaksanakan pengurangan modal secara terpilih dan pembayaran balik modal menurut Seksyen 116 Akta Syarikat 2016.

 

Struktur transaksi libatkan terbitan bonus

Bagi membolehkan transaksi itu dilaksanakan, syarikat bercadang menerbitkan 571.11 juta saham bonus menerusi permodalan RM571.1 juta daripada keuntungan terkumpulnya, sekali gus meningkatkan modal saham terbitan ke tahap yang mencukupi untuk melaksanakan pembayaran balik tersebut.

 

AJICO akan mengetepikan haknya terhadap cadangan terbitan bonus itu, manakala saham bonus berkenaan tidak akan dikreditkan ke dalam akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) pemegang saham serta tidak akan disenaraikan di Bursa Malaysia.

 

Selepas pelaksanaan terbitan bonus itu, kesemua saham bonus dan 30.17 juta saham yang dipegang pemegang saham minoriti akan dibatalkan menerusi pelaksanaan SCR berkenaan.

 

Hasilnya, jumlah saham terbitan AMB akan berkurangan daripada 60.80 juta saham kepada 30.63 juta saham, yang kesemuanya akan dimiliki AJICO.

 

Pelaksanaan itu juga akan mengurangkan modal saham terbitan AMB daripada RM636.2 juta, selepas mengambil kira terbitan bonus, kepada RM32.8 juta.

 

Penyahsenaraian antara matlamat utama

AJICO berkata ia tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian AMB dan akan meminta syarikat itu memohon kelulusan Bursa Malaysia untuk menyahsenaraikan AMB daripada Pasaran Utama selepas proses penswastaan selesai.

 

Gergasi makanan Jepun itu berkata tawaran tersebut memberi peluang menarik kepada pemegang saham minoriti untuk merealisasikan pelaburan mereka, khususnya memandangkan kecairan dagangan saham AMB yang secara sejarahnya rendah.

 

Menurut surat cadangan itu, saham AMB mencatat purata dagangan harian sebanyak hanya 38,715 saham sepanjang lima tahun lalu, bersamaan kira-kira 0.13% daripada saham apungan bebas syarikat.

 

"Cadangan SCR ini memberi peluang kepada pemegang saham yang layak, yang mungkin mempunyai objektif atau tempoh pelaburan berbeza, untuk merealisasikan pelaburan mereka dalam AMB dengan lebih cepat," kata AJICO.

 

Tambahnya, pemegang saham berpeluang menukar pegangan mereka kepada tunai pada premium yang ketara berbanding harga pasaran semasa memandangkan saham AMB tidak pernah didagangkan pada atau melebihi RM20.00 sepanjang tempoh 12 bulan sebelum cadangan itu dikemukakan.

 

Harga tawaran beri premium menarik

Harga tawaran RM20 sesaham itu mewakili premium sebanyak 31.58% berbanding harga penutup saham AMB pada RM15.20 pada 19 Jun lalu, iaitu hari dagangan penuh terakhir sebelum surat cadangan tersebut dikeluarkan.

 

Ia juga mewakili premium masing-masing sebanyak 30.68%; 37.68%; 49.00%; 49.53% dan 49.93% berbanding purata harga pasaran berwajaran volum (VWAP) bagi tempoh lima hari, sebulan, tiga bulan, enam bulan dan setahun.

 

AJICO turut berkata AMB tidak melaksanakan sebarang aktiviti pengumpulan dana ekuiti menerusi pasaran modal sejak lebih sedekad lalu, namun masih perlu menanggung kos berkaitan penyenaraian serta mematuhi pelbagai keperluan kawal selia.

 

Menurutnya, penswastaan itu akan memberikan fleksibiliti lebih besar kepada AMB untuk mencapai objektif perniagaannya, menyusun semula struktur korporat dengan lebih cekap serta meningkatkan kecekapan operasi tanpa perlu menanggung beban sebagai syarikat tersenarai.

 

Cadangan SCR itu masih tertakluk kepada beberapa kelulusan, termasuk pelepasan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, kelulusan pemegang saham berkecuali menerusi resolusi khas, pengesahan Mahkamah Tinggi serta kelulusan atau persetujuan lain yang berkaitan.

 

Kelulusan pemegang saham berkecuali diperlukan

Di bawah terma cadangan itu, resolusi khas perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 75% daripada nilai undi yang dibuang oleh pemegang saham berkecuali, manakala undi yang menolak tidak boleh melebihi 10% daripada jumlah hak mengundi yang dimiliki kumpulan pemegang saham tersebut.

 

AJICO telah melantik Maybank Investment Bank Berhad sebagai penasihat utama bagi cadangan penswastaan berkenaan.

 

Tawaran itu akan luput sekiranya lembaga pengarah AMB, tidak termasuk pengarah berkepentingan, tidak bersetuju untuk meneruskan cadangan tersebut selewat-lewatnya pada 21 Julai 2026. - DagangNews.com