Pekebun kecil sawit berisiko diabai dalam agenda lestari semasa, kata PNB Research Institute | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pekebun kecil sawit berisiko diabai dalam agenda lestari semasa, kata PNB Research Institute

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Sept – Walaupun Malaysia mencatat kemajuan ketara dalam usaha pengukuhan industri minyak sawit lestari, golongan pekebun kecil persendirian masih berdepan risiko diabaikan.

 

Menurut PNB Research Institute (PNBRI), kelompok berkenaan dibimbangi boleh terpinggir daripada rantaian bekalan global yang semakin mampan, disebabkan oleh pelbagai faktor semasa ketika ini.


Ini termasuk kekangan sumber, pendapatan rendah serta jurang pengetahuan teknikal menyukarkan bagi memenuhi piawaian pensijilan ketat ditetapkan seperti Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).


"Tanpa intervensi bersasar dan sokongan sistemik, mereka berisiko tinggi untuk diketepikan dalam rantaian sejagat yang menuntut pematuhan lestari,” kata Ketua Penyelidik PNBRI, Farhana Roslan.


Tambahnya, pada masa ini seramai 208,000 pekebun kecil persendirian menguruskan lebih 808,000 hektar kebun kelapa sawit, 27% daripada keseluruhan kawasan komoditi itu di seluruh negara.


Hampir 90% kawasan tanaman sawit di Malaysia telah diperakui MSPO, namun, PNBRI mendapati ramai pekebun kecil kecewa kerana tidak melihat faedah kewangan yang nyata walaupun ada sijil tersebut.


“Ramai dalam kalangan mereka yang menyuarakan kesukaran untuk memenuhi keperluan penting berkaitan dengan isu pemilikan tanah, tanggungjawab sosial dan pemuliharaan alam sekitar,” ujar Farhana.


Dapatan kajian PNBRI tersebut tambah beliau, turut menunjukkan sejumlah 60% daripada pekebun kecil di Malaysia bergantung kepada pendapatan sampingan untuk menampung kos operasi ladang mereka. 


Tahap tinggi kebergantungan kepada pusat pengumpulan swasta turut menjadikan mereka kurang kuasa tawar-menawar dan terikat kepada pembeli yang sengaja menawarkan harga rendah daripada pasaran.


“Dalam keadaan sebegini, ramai dikenal pasti tidak mampu melabur ke atas usaha amalan pertanian baik (GMP) atau cuba berusaha menaik taraf ladang mereka ke arah kelestarian,” tambah Farhana.


Sebahagian besar pengetahuan pertanian dalam kalangan pekebun kecil diperoleh secara tidak formal dengan 61% belajar daripada rakan dan jiran, bukan menerusi latihan atau khidmat nasihat teknikal.


Bagi memastikan golongan tersebut tidak ketinggalan dalam agenda kelestarian, PNBRI kata Farhana, mengemukakan beberapa cadangan utama antaranya pengukuhan literasi kewangan dan pengurusan ladang.


Ia turut menyarankan pihak berkuasa memperkenalkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pertanian khusus untuk generasi muda pekebun kecil serta mengawal selia pusat pengumpulan.


"PNBRI juga mengesyorkan pembelian input secara pukal untuk mengurangkan kos, serta meningkatkan modul latihan dan mewajibkan pendedahan operasi pekebun kecil ketika proses pelesenan," katanya.


Kelompok itu tambah Farhana, merupakan tulang belakang kepada struktur sosio-ekonomi luar bandar negara namun tanpa pelan integrasi dan sokongan lebih kukuh, mereka akan terus terpinggir. - DagangNews.com