KUALA LUMPUR 6 Jan — Pekat Group Berhad menyasarkan margin untung bersih antara 10% hingga 12% daripada kontrak terbaharu bernilai RM113.3 juta diperoleh menerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurut Phillip Capital, unjuran berkenaan sekiranya menjadi kenyataan sekali gus berupaya dalam mengukuhkan lagi prospek pendapatan positif kumpulan tersebut bagi tahun kewangan 2026 (FY26).
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak terkini yang diperoleh melalui anak syarikat 60% miliknya, EPE Switchgear, melibatkan kerja-kerja pembekalan dengan tempoh pelaksanaan selama dua tahun.
"Kemenangan kontrak keempat daripada TNB itu sejak Disember 2024, meningkatkan buku tempahan terkumpul Pekat kepada RM745 juta, bersamaan 2.6 kali hasil FY24," katanya dalam nota hari ini.
Jumlah tersebut jelas Phillip Capital, sebenarnya sudah merangkumi kira-kira 21% daripada anggaran pengisian pesanan penuh kumpulan berkenaan sendiri sepanjang 2026 iaitu sebanyak RM546 juta.
Kontrak ini juga tambahnya, dijangka menjana antara RM7 juta hingga RM8 juta keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI), mewakili sekitar 14% daripada unjuran untung bersih 2026.
Selain itu, angka berkenaan selari dengan margin sejarah EPE Switchgear, manakala buku tempahan Pekat pada ketika ini didominasi oleh segmen pengagihan kuasa sebanyak 54%, diikuti solar (25%).
"Kami menjangkakan pengisian pesanan berterusan merentasi semua bahagian perniagaan, disokong oleh pelaksanaan projek solar berskala besar (LSS) 5+ dan 6 bagi segmen solar," ujar Phillip Capital.
Di samping itu kata firma penyelidikan tersebut, kumpulan berkenaan turut meraih banyak projek pusat data (DC) yang kukuh untuk pelaksanaan kerja-kerja bahagian pembumian dan perlindungan kilat (ELP).
Berdasarkan situasi semasa, ia turut menegaskan kedudukan EPE Switchgear sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan TNB, yang menyokong keterlihatan pendapatan jangka sederhana kumpulan itu.
Justeru, Phillip Capital masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas Pekat dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM1.90 sesaham, tanpa sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan.
"Bagaimanapun, kami menilai risiko utama termasuk kelewatan pelaksanaan projek, persaingan pasaran yang sengit serta turun naik harga panel solar fotovoltaik," katanya. - DagangNews.com








