KUALA LUMPUR 27 Mac - Pekat Group Bhd bersedia memanfaatkan permintaan agresif tenaga boleh diperbaharui (RE) dan perniagaan suis di Malaysia yang diperolehnya sebagai strategi baharu syarikat, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, desakan kerajaan untuk pemerkasaan RE menerusi Large Scale Solar 5 (LSS5) dan LSS5+; yang lebih besar daripada LSS4, akan membuka lebih RM10 bilion dalam kontrak pelbagai kerja berkaitan.
Ini meliputi kejuruteraan, perolehan, pembinaan serta pentauliahan kerana LSS5 dan LSS5+ menawarkan kapasiti tenaga hijau empat kali lebih besar berbanding 800 MegaWatt (MW) yang ditawarkan LSS edisi keempat.
“Pekat mengekalkan bahagian pasaran stabil kira-kira lima peratus, masih selektif dalam projek LSS, serta sedang membuat langkah agresif bagi segmen perindustrian dan komersial (C&I) yang margin tinggi," katanya dalam nota kajian.
Kenangan Reserach merujuk pasaran solar atas bumbung yang kurang ditembusi melalui Solaroo, dengan memanfaatkan hanya kira-kira 63,000 daripada 10.4 juta pelanggan kediaman domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Prospek pasaran itu dijangka bertambah apabila syarikat utiliti Semenanjung Malaysia itu diaporkan bersedia untuk meningkatkan tarif elektrik asas sehingga 14 peratus bermula pada separuh kedua 2025.
“Pada masa sama, Pekat dilihat berada di landasan untuk menggandakan pendapatan kediaman dan C&I kepada sebanyak RM120 juta untuk rekod tahun kewangan 2025 (FY25),” kata firma penyelidikan tersebut.
Ia berkata, perniagaan suis yang baru diperoleh Pekat, menerusi EPE Switchgear Sdn Bhd dengan 70 peratus hasilnya daripada TNB, memegang 30 peratus bahagian dalam tender TNB sebagai antara empat pembekal alat suis voltan sederhana tempatan teratasnya.
Ia menganggarkan pendapatan EPE itu mampu melepasi jaminan keuntungan sebanyak RM10 juta masing-masing bertambah kepada 33 peratus dan 54 peratus pada FY25 dan FY26.
Justeru, Kenanga Research berkata, Pekat adalah pilihan utama baharunya. Ia meneruskan saranan "outperform" dengan harga sasaran RM1.60 sesaham. - DagangNews.com








