KUALA LUMPUR 4 Mac — Pecca Group Berhad meneroka potensi usaha sama (JV) dengan Zhejiang Tenchen Controls Co Ltd, pembekal tempat duduk dari China untuk inovasi, pembangunan dan pengeluaran tempat duduk serta aksesori sektor automotif.
Dalam satu kenyataan, kumpulan berkenaan berkata bahawa kedua-dua pihak itu telah pun menandatangani memorandum persefahaman yang menggariskan hasrat untuk JV tersebut, yang akan menggabungkan kekuatan Pecca dan Zhejiang Tenchen.
Kerjasama ini bakal menawarkan perkhidmatan kepada pasaran kenderaan penumpang tempatan dengan penyelesaian tempat duduk berkualiti tinggi keluaran Zhejiang Tenchen yang terkenal serta tersenarai di Bursa Saham Shanghai.
Pecca ujarnya, menyumbangkan pengetahuan mengenai pasaran automotif Malaysia, hubungan dengan pemain industri, dan kepakaran dalam proses kawal selia, manakala Zhejiang Tenchen menyediakan kepakaran bertaraf dunia dalam reka bentuk.
"Ini termasuk pembuatan penyelesaian tempat duduk yang termaju. Perkongsian tersebut turut membolehkan Pecca mengembangkan portfolio produk dan meningkatkan rantaian nilai dengan menawarkan penyelesaian tempat duduk yang lengkap.
"Antaranya pemasangan tempat duduk dan upholsteri untuk kenderaan penumpang, keselamatan kanak-kanak dan kenderaan komersial," kata kenyataan berkenaan. Pecca ditubuhkan lebih 23 tahun lalu dan disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2016.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pecca, Hugo Teoh Zi Yi berkata perkongsian secara JV itu akan membuka peluang baharu yang menarik untuk pertumbuhan kumpulan, sambil memajukan kemajuan teknologinya dengan syarikat dari China.
Ujarnya, penyepaduan teknologi canggih dan kepakaran reka bentuk Zhejiang Tenchen dengan keupayaan pembuatan Pecca membolehkan syarikat tersebut bersedia untuk menawarkan penyelesaian tempat duduk yang inovatif dan berkualiti tinggi.
"Produk kami memang sudah terkenal dalam pasaran dan diakui memenuhi piawaian global, termasuk pemasangan untuk jenama automotif utama," katanya. - DagangNews.com








