KUALA LUMPUR 10 Mac — Pecca Group Berhad membentuk kerjasama eksklusif dengan penyedia teknologi automotif terkemuka China, Shanghai Launch Automotive Technology Co Ltd bagi menerajui pembangunan rumusan automotif inovatif di Malaysia.
Kumpulan itu berkata, usaha strategik antara kedua-dua pihak dimeterai melalui Perjanjian Rangka Kerja untuk Perkhidmatan Perundingan yang menetapkan anak syarikat Kumpulan Pecca Leather Sdn Bhd sebagai rakan kongsi jualan.
Ia juga berperanan dalam aktiviti pemasaran secara tunggal dan eksklusif serta perunding untuk Shanghai Launch di Malaysia, dengan memanfaatkan pengalaman industri Pecca sendiri dan rangkaiannya dengan ramai pemain automotif utama.
"Pecca, disokong kepakaran pembuatan dan perkhidmatan selepas jualan yang komprehensif, akan menyediakan perkhidmatan itu untuk mengemudi pasaran Malaysia. Skop perkhidmatan itu termasuk memanfaatkan pemahaman mendalam Pecca," katanya dalam satu kenyataan.
Ini jelasnya merangkumi keutamaan pengguna tempatan, keperluan kawal selia dan trend industri, serta menggabungkan kekuatan dengan Shanghai Launch untuk mendapatkan ramai pelanggan akhir dalam aspek reka bentuk, pembangunan dan eksport automotif.
Kerjasama ini akhirnya memudahkan pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada tenaga kerja tempatan selain memanfaatkan Shanghai Launch dalam teknologi automotif terkini dan berpotensi meliputi inovasi penyelesaian masa depan termasuk kenderaan elektrik.
Pengarah Eksekutif Pecca Group Berhad, Hugo Teoh Zi Yi berkata, perkongsian eksklusif dengan Shanghai Launch menandakan satu langkah penting dalam strategi pertumbuhan Pecca yang sedang meningkatkan rantaian nilai upholsteri kulit premium dan dalaman kenderaan.
"Kami berhasrat menjadi pemain utama dalam memacu inovasi automotif di Malaysia dan kerjasama ini membolehkan Pecca melompat ke dalam teknologi termaju sambil menyumbang kepada pertumbuhan industri automotif tempatan kami,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Shanghai Launch, Wang Xun berkata, pengalaman Pecca yang luas dalam sektor automotif Malaysia dan komitmen mereka terhadap rumusan berkualiti menjadikan syarikat itu rakan kongsi yang ideal untuk pengembangan ke pasaran ini.
"Kami melihat potensi yang sangat besar dalam menggabungkan kepakaran teknologi kami dengan keupayaan pembuatan dan cerapan pasaran Pecca, untuk mencipta penyelesaian yang inovatif dan menyumbang kepada cita-cita automotif negara ini sendiri," katanya lagi.
Pecca terkenal dalam penyelesaian upholsteri kulit automotif berkualiti tinggi untuk pemain utama sektor automotif dan penerbangan. Perkongsian eksklusif dengan Shanghai Launch akan meningkatkan kedudukan Pecca sebagai peneraju dalam landskap automotif.
Shanghai Launch ialah syarikat reka bentuk automotif terkemuka di China yang mengkhusus dalam penyelidikan dan pembangunan automotif selain juga merupakan salah satu institusi penyelidikan dan pembangunan automobil bebas yang terawal di negara berkenaan.
Ia memiliki rekod prestasi melancarkan lebih daripada 400 model, termasuk kenderaan elektrik, kereta penumpang dan komersial. Perkhidmatannya meliputi penggayaan, pembangunan badan dan casis, analisis prestasi dan pembuatan prototaip. - DagangNews.com








