IPOH 24 Nov - Perak Community Specialist Hospital (PCSH) Ipoh melakar satu lagi pencapaian penting apabila membuka secara rasmi aras eksekutif terbaharunya, Executive@ 5, di tingkat 5 hospital itu.
Pembukaan itu sekali gus menandakan permulaan baharu dalam penyediaan rawatan kesihatan yang bukan sahaja menitikberatkan aspek perubatan, malah memberi penekanan terhadap keselesaan dan layanan peribadi kepada pesakit.
Mengangkat konsep ‘mesra hospital’ yang diinspirasikan gaya layanan hotel, kemudahan baharu itu menyasarkan pengalaman mewah pada harga mampu milik.
Menurut PCSH, aras berkenaan direka khas bagi meningkatkan kesejahteraan pesakit melalui bilik yang dinaik taraf dengan rekaan seakan hotel, katil premium, kemudahan digital lebih canggih, selain ruang rehat pesakit.



Turut disediakan adalah perkhidmatan ala concierge bagi memudahkan urusan pesakit dan keluarga.
“Pembangunan itu juga selari dengan visi PCSH untuk mentransformasikan pengalaman rawatan tradisional kepada pendekatan lebih holistik, menggabungkan elemen empati, inovasi dan kecemerlangan perkhidmatan.
“Sebagai salah satu hospital komuniti paling lama di Ipoh, PCSH menegaskan komitmennya untuk terus melabur dalam penambahbaikan fasiliti, inovasi digital serta kecemerlangan klinikal.
“Ini bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang semakin berkembang, sambil kekal berpegang pada misi komuniti yang menjadi asas penubuhannya,” ujar kenyataan itu.


Wad Aras Eksekutif yang menempatkan 25 buah katil kini dibuka untuk kemasukan pesakit.
Dengan pembukaan wad baharu ini kemudahan katil pesakit di hospital tersebut bertambah kepada 145 katil berbanding 114 sebelumnya.
Ini termasuk bilik rawatan rapi (ICU) persendirian sebanyak 6 katil yang baru dibuka pada 17 November lalu. - DagangNews.com







